KUCHING: Keuntungan syarikat bekalan elektrik tunggal di Sarawak Energy Berhad (SEB) melonjak empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, James Ung berkata, kejayaan terbabit dicapai berikutan rancangan holistik SEB yang memfokus kepada keselamatan, kemampanan dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Setakat ini, kita mempunyai tiga empangan hidro iaitu Batang Ai yang menghasilkan 108 megawatt (mw) bekalan elektrik, Bakun (2,400 mw) dan Murum (944 mw).

“Kita juga dalam kerja-kerja pembinaan Empangan Hidro Baleh yang menghasilkan 1,285 mw bekalan elektrik dan dijangka siap pada tahun 2025,” katanya.

Menurut James, kewujudan empangan hidro ini berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap keamatan karbon sebanyak 74 peratus.

Foto :Sarawak Directory

“Berikutan itu, SEB merupakan penyumbang utama kepada pengurangan pengamatan karbon di Malaysia.

“Pencapaian ini menjadikan SEB sebagai Ahli Emas kepada Laporan Standard Global sejak tahun 2012 dan Ahli Platinum Persatuan Kuasa Hidro Antarabangsa (IHA),” jelasnya.

Dari segi kemampuan pula, James memberitahu tarif elektrik yang dikenakan oleh SEB kepada penduduk Sarawak adalah paling murah di rantau Asia Tenggara iaitu 6.2 sen Amerika Dolar per KWh.

“Kita menjalin kerjasama erat dengan negara jiran, Kalimantan Barat apabila berjaya mengeksport lebih 200 mw bekalan elektrik.

“Kita sedang merancang untuk mengeksport bekalan elektrik ke Sabah, Brunei dan Kalimantan Utara,” ujarnya.

Katanya, sekiranya perbincangan untuk mengeksport bekalan elektrik ke tiga lokasi terbabit mendapat tindak balas positif, maka, SEB bakal menjadi pemangkin utama pembangunan tenaga elektrik di Kepulauan Borneo. –Sarawakvoice