KUCHING: Tradisi saling mengunjungi sempena Tahun Baharu Cina harus diteruskan yang melambangkan semangat perpaduan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Sim Kui Hian berkata, tradisi kunjung-mengunjung di kediaman beliau dimulakan oleh mendiang bapanya sejak 30 tahun lalu.

“Tradisi kunjung mengunjung semasa musim perayaan menggambarkan keunikan dan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Meskipun meredah kesesakan lalu lintas, hujan atau panas, keadaan ini tidak menjadi penyebab untuk tradisi kunjung mengunjung dilupakan,” katanya.

GONG XI FA CHAI … Kelihatan Sim merakam kenangan bersama Tun Taib dan isteri serta para tetamu yang lain di Kuching, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Jalan Wan Abdul Rahman di sini, semalam.

Sim juga melahirkan rasa gembira apabila kemeriahan Tahun Baharu Cina diraikan bersama kaum lain di Sarawak.

Turut berkunjung ke rumah Sim ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib yang diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun dan isteri, Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang dijadualkan berkunjung ke rumah Sim pada hari ini.