KUCHING: Lupakan cara lama, bersatu demi keutamaan Sarawak disifatkan kunci penting bagi memastikan pembangunan dan masa depan Sarawak terus terjamin.

Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam berkata ia merupakan aspek paling penting dalam meneruskan kelangsungan pembangunan Sarawak.

“Kerjasama dalam satu pasukan, saya percaya dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pasti mencapai objektifnya.

“Ini kerana GPS merupakan kerajaan yang fokus untuk melakukan yang terbaik untuk Sarawak, “katanya.

Walaupun tindakan keluar dari Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu disifatkan sedikit pentingkan diri, namun ia perlu demi rakyat Sarawak.

Untuk itu, masyarakat Sarawak katanya perlu terus bekerjasama erat bagi memastikan apa yang dirancang itu berjalan lancar dan berjaya.

“Apa yang penting ialah semua rakyat bersatu hati bekerjasama sebagai satu.

“Malah dari segi parti politik, mereka harus bersatu demi kepentingan Sarawak.

“Fikirkan tentang Sarawak dan bukan untuk kepentingan individu tetapi bekerjasama ke arah keutamaan Sarawak,” katanya.

Perkara itu ditegaskan George Chan ketika ditemui di kediamannya sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Beliau berharap dengan Kerajaan di bawah pimpina GPS, Sarawak akan terus maju dan membangun yang dapat memanfatkan kehidupan rakyat.