KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bagi fasa kedua diharap dapat dilaksanakan mulai tahun depan.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pelaksanaannya hanya dapat dilakukan selepas mendapat peruntukkan daripada Kementerian Kewangan.

“Fasa kedua pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo adalah kesinabungan daripada fasa pertama.

“Bagi pelaksanaan fasa kedua, kita harus mendapatkan peruntukan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen di sini, semalam.

RAKAM KENANGAN … Baru (kanan) merakam kenangan bersama Chong (kiri) pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Kuching semalam.

Baru dalam pada itu melahirkan keyakinan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bagi fasa pertama siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya menasihatkan para kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo pada masa yang ditetapkan sekali gus mampu menjimatkan kos.

“Namun, kita tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan apabila sebuah Jawatankuasa Khas dikerahkan ke lapangan minggu lalu yang bertindak atas aduan diterima,” jelasnya.

Setakat ini, pakej kerja pertama Lebuh Raya Pan Borneo di bawah fasa pertama dari Telok Melano ke Sematan berjaya disiapkan dan dibuka kepada orang ramai mulai 26 Januari lalu.

Perasmian laluan baharu itu yang sepanjang 32.77 kilometer dengan kos RM580 juta disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Baru.

Di bawah fasa pertama projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, sebanyak 11 pakej kerja yang membabitkan laluan dari Teluk Melano ke Miri dengan jarak sepanjang 786 kilometer.