Minggu lepas sebuah keratan akhbar tempatan bertarikh 1 Februari  mengeluarkan kenyataan daripada seorang pensyarah universiti awam berkenaan kajian beliau berkaitan dengan ekonomi serta taraf pembangunan di luar bandar di Sarawak.

Kajian yang memfokuskan kepada pendapatan per kapita penduduk ini turut dipengaruhi oleh kemerosotan harga komoditi seperti kelapa sawit, lada hitam dan getah.

Namun, alasan mengatakan faktor ini dipengaruhi oleh penyusutan harga komoditi ini tidak boleh dijadikan faktor utama.

Persoalannya, kenapa ini berlaku tatkala Sarawak merupakan antara tiga negeri terkaya di Malaysia?

Tidak mengejutkan bagi mereka yang menyelami kehidupan penduduk di luar bandar di Sarawak yang sentiasa peka kepada masyarakat di luar bandar.

Kajian Profesor Madya Madeline Berma yang merupakan penganalisis ekonomi ini mengesahkan apa yang benar-benar berlaku di kawasan luar bandar.

Sarawak antara tiga negeri terkaya di Malaysia dan juga mempunyai tujuh daripada sepuluh daerah yang termiskin di Malaysia.

Tujuh daerah ini ialah Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro. Persoalannya, kenapa ini terjadi? Apakah ideologi politik pembangunan yang menjadi pegangan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak selama ini berjaya?

Amat jelas perkara ini berhubung kait dengan politik. Dari sudut politik ternyata ideologi politik pembangunan yang menjadi pegangan BN Sarawak dahulu ternyata berjaya. Kenapa berjaya?

Berjaya disebabkan ketujuh-tujuh daerah ini merupakan kubu kuat BN. Pembangunan dijanjikan tiap kali pilihan raya termasuk pembangunan ekonomi rakyat, tetapi kenapa ketujuh-tujuh daerah ini merupakan yang antara sepuluh yang termiskin di Malaysia?

Contoh kenyataan daripada salah seorang pemimpin mengatakan ‘No Dam No Road’. Kenyataan seperti ini yang selalu dikeluarkan oleh pemimpin untuk memancing rakyat terus menyokong mereka setiap kali pilihan raya.

Maksudnya, pembangunan untuk rakyat memerlukan syarat. Inilah kejayaan besar politik pembangunan BN Sarawak lebih daripada 50 tahun.

Teringat berkenaan jalan ke kampung saya yang hanya sepanjang 7 km sahaja mengambil beberapa penggal atau beberapa kali pilihan raya untuk disiapkan juga.

Demi ada akses jalan raya, penduduk di kampung saya terus teguh menyokong BN selama ini. Ini lah politik pembangunan.

Apa yang menarik, ketujuh-tujuh daerah yang termiskin di Malaysia ini didiami oleh majoriti kaum Iban. Mereka merupakan penyokong tegar BN dahulu.

Kebanyakan wakil rakyat dalam ketujuh-tujuh daerah ini telah menjadi wakil rakyat di kawasan ini lebih daripada empat atau lima penggal. Ini bermaksud, mereka menjadi wakil rakyat lebih kurang daripada 20 tahun. Wow,  20 tahun merupakan tempoh yang lama.

Apa yang amat menyedihkan, rakyat terus memberi sokongan padu kepada pemimpin sebegini.

Demi pembangunan yang dijanjikan sehingga ke hari ini, rakyat di luar bandar terus menjadi tulang belakang kepada pemimpin seperti ini. Daerah Pakan merupakan daerah paling miskin di Malaysia yang majoriti penduduk ialah kaum Iban.

Dari segi kemudahan infrastruktur juga ternyata Daerah Pakan jauh ketinggalan daripada daerah-daerah lain di Sarawak.

Kini, Sarawak dalam era baharu kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus melangkah ke depan untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh penduduk di luar bandar terutama dalam ketujuh-tujuh daerah ini dan daerah lain di Sarawak.

GPS harus berani menyingkirkan wakil rakyat yang telah lama selesa menjadi pemimpin, tetapi tidak betul-betul bekerja untuk rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti.

Laksanakan pembangunan tanpa memberi syarat kepada rakyat demi kemajuan di kawasan luar bandar.

Jangan jadikan pembangunan sebagai umpan kepada rakyat semasa pilihan raya. GPS harus berhenti daripada doktrin politik pembangunan yang salah diamalkan oleh BN dahulu.

Keikhlasan dan iltizam politik yang tinggi dapat memastikan GPS terus memacu negeri Sarawak sebagai negeri maju pada masa depan.

Pembangunan infrastruktur harus diseimbangkan dengan pembangunan ekonomi rakyat di kawasan luar bandar.

Semoga semua pemimpin terutama pemimpin Dayak atau Iban merenung kembali apa yang berlaku dalam ketujuh-tujuh daerah yang termiskin di Malaysia ini.

Bantulah rakyat kerana anda dipilih oleh rakyat untuk bekerja untuk rakyat.

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.