Friday, August 19, 2022

Pacuan 4 roda luar bandar Swak: Kerajaan PH pertimbang beri subsidi bahan api

Secara Rawak

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mempertimbangkan cadangan untuk memberikan subsidi bahan api kepada pemilik kenderaan berkapasiti 2,400cc khususnya melibatkan masyarakat di luar bandar Sarawak yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan subsidi bahan api diberikan kepada kenderaan berenjin 1,500cc dan ke bawah pada pembentangan bajet 2019.

Bagaimanapun tambah Chong, skim subsidi tersebut belum lagi dimuktamadkan.

Malah pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan berhubung isu itu terutama di Sarawak yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda di kawasan luar bandar.

Kerajaan katanya sedang mengkaji perkara itu bagi memastikan ia dapat menampung keperluan rakyat.

“Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dari segi keperluan, sektor, bagaimana ia (subsidi) itu akan disalurkan.

“Semua itu masih dalam proses pertimbangan, “jelasnya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini diminta untuk mengkaji semula pemberian subsidi bahan api kepada kenderaan berkapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah. –Sarawakvoice

Foto: Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru