KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri warga Rusia yang melambung bayi mereka berusia empat bulan dalam satu persembahan jalanan di Bukit Bintang, di sini, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pasangan pelancong dalam satu video yang tular di media sosial baru-baru ini ditahan bersama anak perempuan mereka selepas polis menerima laporan orang awam.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 27 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Pasangan suami isteri itu telah masuk ke Malaysia pada 1 Jan lepas dari Thailand turut melakukan aksi yang sama di negara berkenaan.

“Kami akan reman mereka pada esok manakala kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Plaza Tol Jalan Duta, di sini.

Mazlan berkata bayi berkenaan dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semalam, media melaporkan mengenai video yang menunjukkan seorang bayi dilambung dengan kedua-dua kakinya dipegang dalam satu persembahan jalanan di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 90 saat itu memaparkan imej seorang lelaki berseluar pendek dan berbaju putih menghayun seorang bayi di atas kepalanya.

Pasangan suami isteri yang melakukan aksi melambung bayi di Changkat, Bukit Bintang, dekat sini, bagaimanapun dilaporkan berkata tindakan itu hanyalah satu senaman untuk bayi mereka.

Dalam perkembangan lain, polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kehilangan seorang lelaki warga Ireland iaitu Stephen Warde sejak 1 Jan lepas di negara ini.

“Kami berharap orang ramai salur maklumat kepada kami untuk kesan lelaki warga Ireland berkenaan dan lengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Keluarga Warde sebelum ini menawarkan wang ganjaran US$5,000 (RM20,560) untuk maklumat yang boleh mengesan lelaki itu.— BERNAMA

Sumber foto: Youtube