Keputusan PAS menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berhubung dakwaan pemberian dana 1MDB sebanyak RM90 juta oleh mantan Datuk Seri Najib Razak kepada beberapa orang pemimpin tertinggi PAS bagi mendapatkan sokongan PAS kepada UMNO amat mengejutkan.

Ini adalah kerana orang ramai menanti kes ini dibicarakan bagi menilai sejauh mana keikhlasan PAS memperjuangkan Islam sedangkan dalam pada masa yang sama PAS bersekongkol dalam skandal 1MDB yang melibatkan kehilangan wang rakyat. Maka, tidak hairan kompas politik PAS berubah secara mengejut melawan arus kebangkitan rakyat dengan membela skandal 1MDB dan memainkan sentimen perkauman senada dengan UMNO.

Penarikan saman tersebut menunjukkan dakwaan penerimaan dana RM90 juta tersebut benar. Oleh kerana isu ini melibatkan penyelewengan dana 1MDB yang mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan pengubahan wang haram, maka PAS dan pemimpin yang menerima dana tersebut juga harus disiasat oleh pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana akaun mereka juga boleh dibekukan selaras dengan peruntukan seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA).

Seksyen ini memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat. Selain itu juga, pemimpin PAS yang didakwa terlibat juga boleh disiasat di bawah Akta SPRM samaada pemberian dana RM90 juta tersebut merupakan suatu suapan bagi mendorong PAS untuk menyokong UMNO.

Pemuda AMANAH berpendirian bahawa tiada sesiapa yang boleh terlepas dalam siasatan skandal mega 1MDB ini kerana penyelewengan dana ini adalah begitu besar dan menjijikkan. Keluhuran undang-undang perlu ditegakkan dengan satu siasatan adil, menyeluruh dan segera perlu dijalankan segera supaya kehilangan berbilion ringgit wang rakyat akibat skandal mega 1MDB ini dapat diperolehi semula. Oleh itu, pihak PDRM dan SPRM wajar menyiasat kes ini dengan segera dan mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan.

KENYATAAN MEDIA PEMUDA AMANAH NASIONAL, FAIZ FADZIL. TIMBALAN KETUA PEMUDA AMANAH, ADUN PERMATANG PASIR