KUCHING: Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan  (PH) perlu menyalurkan dana ke Sarawak bagi membolehkannya membina rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian.

“Ini bukan isu tanah, Putrajaya perlu beri kita dana, kerana tanpa dana, bagaimana kita dapat bina rumah,” tegasnya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pegawai Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Sarawak, Voon Shiak Ni berkaitan isu pembinaan rumah mampu milik di Sarawak.

Voon dipetik sebagai berkata oleh media beberapa hari lalu, berharap Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Putrajaya dengan menyediakan tapak untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Hakikatnya, beliau berkata, tanah telah pun ditawarkan oleh kerajaan Sarawak untuk kementerian terbabit, yang dibentangkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk pertimbangan menteri pada Ogos tahun lalu.

Sim berkata, kerajaan Sarawak masih lagi menunggu dana daripada Putrajaya untuk membina rumah mampu milik.

“Jadi apa yang kita tunggu sekarang adalah dana daripada Zuraida untuk membolehkan kita membina rumah mampu milik di Sarawak,” tegas Sim merujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan Zuraida Kamarudin.

Sim menjelaskan, pada sesi taklimat terbabit, pihak kerajaan Sarawak telah menunjukkan ratusan ekar tanah sedia untuk dibangunkan bagi pembinaan perumahan.

Sementara itu, Sim yang juga Presiden SUPP berkata, kerajaan Sarawak akan membina 2,500 unit rumah mampu milik di seluruh negeri.