KUCING: Kemurungan dipercayai menjadi punca seorang lelaki muda di sini mengambil keputusan nekad untuk meragut nyawa sendiri.

Mangsa berusia 25 tahun itu, menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan, ditemui tergantung sekitar kam, 8.30 malam oleh abangnya pada Sabtu.

Jelasnya, mangsa didapati menggantung diri menggunakan wayar dalam keadaan lutut di atas lantai, dengan kedua-dua belah kaki terikat.

“Bapa mangsa tidak tahu punca anaknya menggantungkan diri,” jelasnya, namun difahamkan sejak dua tiga hari lalu, mangsa dikatakan dalam kemurungan dan kurang bercakap.

Bapa dan abang mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas kembali dari tempat kerja pada sebelah malam.

“Abang mangsa ternampak adiknya dalam keadaan leher terjerut dengan wayar yang diikat di bahagian kayu bumbung dan duduk dalam keadaan kakinya terikat,” katanya lagi.

Kata beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Umum Sarawak  (HUS) yang tiba di lokasi.

Jelasnya lagi, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat  HUS untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jelas Aidil, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan unsur jenayah berlaku.