Jika anda berkunjung ke negara yang bukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, anda pasti akan menyaksikan bagaimana buku dalam bahasa kebangsaan negara terbabit  menguasai rak di kedai buku di ibu kota, bandar utama dan lapangan terbang. Jarang-jarang buku berbahasa Inggeris mendapat tempat di rak buku berkenaan, kerana yang mendominasi ruang ialah buku dalam bahasa ibunda negara itu.

Jika tidak percaya, kunjungi sahaja negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, China, Turkei, Georgia, Perancis, Jerman, Sepanyol, Vietnam dan lain-lain. Itulah yang dapat saya saksikan di negara terbabit dan saya mengagak bahawa keadaan yang sama juga berlaku di negara lain yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama atau bahasa rasmi. Tentu lainlah ceritanya di Singapura, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Di manakah silapnya apabila keadaan terbalik berlaku di negara kita yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara?

PROF MADYA DR JENIRI AMIR

Di Malaysia, buku berbahasa Melayu, termasuk buku ilmiah bagai melukut di tepi gantang. Kedudukannya terpinggir. Sebaliknya, buku dalam bahasa Inggeris diperagakan dengan bangga dan menguasai rak di kedai buku ternama di ibu kota dan juga di lapangan terbang.

Benarkah tidak ada tempat bagi buku ilmiah di negara kita? Apakah cabaran menulis dan menerbitkan buku ilmiah berbahasa Melayu di negara ini? Apakah harapan kita terhadap penerbitan buku ilmiah berbahasa Melayu?

Sebagai penulis yang telah berkecimpung dalam penulisan buku dalam bahasa Melayu, terutama bahasa Melayu, saya sedar akan masalah dan cabaran yang membelenggu pensyarah dalam menulis manuskrip buku ilmiah.

Selain menulis dan menerbitkan buku, pensyarah juga dituntut untuk mengajar,  melakukan kerja rundingan dan komuniti serta menyelidik. Malah, menyelidik berkaitan rapat dengan penulisan. Buku ilmiah tidak dapat dihasilkan tanpa penyelidikan yang serius.

Penulisan ilmiah merupakan genre penulisan yang serius dan mengkhusus kepada sesuatu bidang kepakaran yang berteraskan hasil penyelidikan yang tinggi nilainya berpandukan kelompok bidang ilmu yang besar, iaitu sains sosial, sains dan teknologi.

Penerbitan ilmiah memakan waktu yang panjang, daripada proses penyelidikan, penulisan, penilaian dan pewasitan, penyuntingan, reka bentuk, pengindeksan dan percetakan.

Perkembangan penerbitan ilmiah di Malaysia dikatakan masih belum membanggkan. Jika diambil kira jumlah buku ilmiah dengan jumlah pensyarah, sudah tentu belum memadai.

Sebagai orang yang banyak terbabit dalam mengendalikan bengkel penulisan  dan penerbitan buku ilmiah, saya dapati sebahagian besar daripada cabaran adalah keterampilan berkarya dalam bahasa Melayu, selain kegagalan mengekalkan minat dan stamina untuk berkarya.

Tanpa disiplin ketat, buku yang sepatutnya disiapkan dalam setahun berlarutan sehingga tiga hingga lima tahun, malah ada yang tergendala terus.  Bengkel yang banyak sekalipun, termasuk bagaimana mengubah tesis menjadi buku, tidak akan banyak membawa erti jika pengalaman dan kemahiran daripada bengkel itu tidak dimanfaatkan.

Berbanding dengan penulis artikel ilmiah, menulis buku memang menuntut lebih banyak komitmen, masa dan tenaga. Dengan wajaran yang lebih diberi kepada artikel ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal dalam bahasa Ingeris peringkat antarabangsa untuk kenaikan pangkat, siapakah yang mahu menulis dalam bahasa Melayu?

Hakikat bahawa nilai yang diberi kepada  penulisan dalam bahasa Melayu lebih rendah berbanding dengan tulisan dalam bahasa Inggeris dalam jurnal ternama, menjadi antara faktor penghambat. Untuk tujuan ilmu, pengembangan dan pemartabatan bahasa Melayu, buku ilmiah berbahasa Melayu perlu diberi nilai dan wajaran yang sama dengan artikel ilmiah dalam jurnal ternama.

Dengan pelbagai insentif yang diberi oleh kerajaan, pensyarah sepatutnya mengambil peluang untuk serius menulis buku ilmiah dalam bahasa Melayu.

Buku ilmiah dalam bahasa Melayu amat sedikit iaitu daripada hampir 15,700 judul buku yang diterbitkan di negara ini, hanya terdapat kira-kira 4,000 judul buku dalam kedua-dua bidang itu.

Memang diakui bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk penarafan universiti di peringkat antarabangsa, tetapi hal ini tidak pula bermakna kita sampai mengabaikan penerbitan buku dalam bahasa ibunda.

Di Amerika Syarikat (AS) terdapat  lebih 100 penerbit universiti yang besar dan kecil, terbabit aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan penerbitan umum.  Penerbit universiti di negara berkenaan memberi sumbangan besar kepada dunia penerbitan, keilmuan dan kesarjanaan.

Sesetengaha pensyarah enggan menulis buku ilmiah dalam bahasa Melayu kerana dikatakan tidak berbaloi dengan  pengorbanan masa dan tenaga. Tetapi anehnya, mereka yang mendakwa sedemikian tidak pula menulis artikel dan buku ilmiah dalam bahasa Inggeris bekelas dunia. Hakikatnya, itu sekadar alasan.

Bagi golongan ini, apalah gunanya menulis buku ilmiah berbahasa Melayu jika dia akhirnya hanya mendapat RM3,000 daripada usaha beratus-ratus malah beribu-ribu jam untuk tujuan penyelidikan, penulisan dan penyuntingan draf awal?

Sesungguhnya, kekurangan penerbitan buku ilmiah oleh ahli-ahli akademik negara  ini akan menyukarkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan dan pengetahuan di rantau ini.

Kejayaan seseorang pensyarah menerbitkan buku ilmiah berbahasa Melayu merupakan satu daripada penanda aras kejayaan beliau sebagai pensyarah di negara ini, selain tanda kejayaan mengungkapkan ilmu dalam bahasa itu untuk kegunaan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.