KABONG: Air masin akan jadi alternatif sebagai jalan penyelesaian sementara untuk mengatasi krisis air bersih di kampung Sungai Endot yang sedang dialami penduduk di situ pada masa kini.

Bagi projek altrernatif itu, air laut akan dipam dan seterusnya diproses menjadi air tawar untuk kegunaaan penduduk bagi tujuan minum dan memasak.

Projek seumpamanya dikatakan telah dilaksana di beberapa kawasan yang mengalami masalah bekalan air bersih seperti di kawasan Daro dan Mukah. Paling dekat teknologi serupa pernah diperkenalkan di Kampung Batang Maro dekat sini beberapa tahun lalu.

Pihak JBALB dan pihak kontraktor melakukan pemantauan lokasi di Kampung Sungai Endot Kabong.

Namun kapasiti air yang dihasilkan tidaklah sebanyak air dari loji. Maka air yang diproses lebih kepada untuk tujuan minum dan memasak dan bukan untuk tujuan mandi atau urusan luar yang lain.

Jurucakap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bersama beberapa wakil kontraktor dari Kuching melakukan pemantaun di kawasan kampung Sungai Endot baru-baru ini. Pemantauan bertujuan mencari punca air sungai yang boleh dipam dan diproses sebagai air bersih.

Mereka mengenal pasti lokasi yang sesuai dan praktikal untuk dijadikan tempat operasi serta dekat dengan sumber tenaga elektrik.

Projek berkenaan dikatakan akan dilaksana dengan secepat mungkin jika peruntukan sudah ditentukan dan dipersetuju pihak kerajaan negeri.

Pencarian jalan alternatif untuk mewujudkan sumber air dikampung itu dilihat amat perlu memandangkan proses pemulihan bekalan air di kawasan Kabong mungkin masih memakan masa kerana menurut pihak JBALB tender bagi membina saluran paip baharu dari Roban ke Kabong baharu dikeluarkan dan jika dilaksana dalam masa terdekat ia akan mengambil masa selama 18 bulan .

Dengan jangkaan tempoh itu bermakna pemulihan sepenuhnya masalah air di kawasan itu dijangka akan menjadi kenyataan pada 2021. Itupun jika tidak timbul masalah ‘projek sakit’ yang bukan asing bagi kawasan Kabong.