KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri Sarawak telah mencadangkan 10 lokasi melibatkan ratusan ekar tanah untuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini.

Menurutnya, lokasi ini telah dibentangkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Zuraida Kamaruddin ketika lawatan ke Sarawak bulan Ogos tahun lepas.

Justeru jelasnya, kerajaan negeri kini hanya menunggu keputusan kerajaan persekutuan untuk memberikan dana untuk pembinaan rumah mampu milik ini.

Sementara itu, beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenalkan dua polisi baharu berkaitan bidang perumahan.

Pertama katanya, rumah mampu milik ditetapkan pada harga antara RM90,000 hingga RM150,000 seunit kerana kerajaan persekutuan mendefinisikan rumah mampu milik RM300,000 ke bawah.

Manakala, polisi baharu kedua, kabinet negeri telah meluluskan bahawa semua penempatan semula skim pembesaran kampung untuk jalannya diturap manakala paritnya dibina secara konkrit.