Lazimnya pilihan raya kecil diadakan apabila berlakunya kematian atau perletakan jawatan wakil rakyat. Selain itu faktor kehilangan kelayakan atau pembatalan keputusan pilihan raya juga berlaku. Bekas penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh misalnya telah hilang kelayakan bertanding dan tidak boleh dicalonkan semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutnya apabila disabitkan dengan kesalahan politik wang.

Hal ini selaras dengan Perakuan Hakim Pilihan Raya, mengikut Seksyen 36 (2) (a) dan Laporan Hakim Pilihan Raya mengikut Seksyen 37, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kerusi DUN Rantau yang dimenangi oleh BN pula diisytiharkan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Pilihan Raya Seremban dan arahan diberikan agar perlu mengadakan PRK serta-merta. Kerusi ini yang pernah dimenangi oleh Mohamad Hasan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam penghakiman tersebut diperakukan tidak wujud sebarang undang-undang dan peraturan pilihan raya yang menyatakan ‘tag’ nama atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk masuk ke dalam dewan penamaan calon bagi mengemukakan borang penamaan. Buku kerja pilihan raya mengesahkan ‘tag’ nama atau pas masuk bukan keperluan mandatori perlu dipatuhi malahan mana-mana calon boleh ‘walk in’ sahaja ke dewan penamaan calon.

Dengan keputusan tersebut, Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan. Sekiranya rayuan ini ditolak, maka ini bermakna pilihan raya kecil akan diadakan di DUN Rantau.

Dijangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas selesai proses rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempunyai tempoh sehingga enam bulan untuk memutuskan mengenai rayuan berkenaan dan mungkin selesai lebih awal lagi.

Di Selangor empat kematian berturut-turut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dalam tempoh 10 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan pilihan raya kecil akan terus dilaksanakan.

Empat ADUN Selangor yang meninggal dunia selepas PRU-14 ialah Mat Shuhaimi Shafiei (Sungai Kandis) dan Ng Tien Chee (Balakong), Shaharuddin Baharuddin ( Seri Setia) dan Bakhtiar Mohd Nor (Semenyih).

Politik PRK

Pada tahun 2018, ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah telah meletak jawatan secara sukarela untuk memberikan laluan kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding dan menjadi ahli parlimen. Ini sesuai dengan persediaan untuk Anwar menduduki kerusi Perdana Menteri yang akan dilangsungkan dalam tempoh 2 tahun.

Perletakan jawatan ini menurut perlembagaan persekutuan sah apabila melepaskan jawatan dengan surat yang ditandatagani sendiri kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Sebelum itu, wakil rakyat dewan undangan negeri (DUN) Kajang, Lee Chin Cheh melepaskan keahlian DUN Selangor dengan menulis surat dan ditandatanganinya sendiri. Ini selaras dengan prosedur Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Perletakan jawatan Lee sebenarnya sebahagian daripada strategi plot politik yang dikenali sebagai Langkah Kajang untuk membuka jalan agar kerusi tersebut ditandingi oleh Anwar.

Namun begitu, strategi dikaitkan dengan Rafizi ini terkandas apabila Anwar disabitkan dalam kes Liwat II. Kerusi itu kemudian diambil alih oleh Wan Azizah dengan harapan dapat dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Namun plot politik tersebut tidak berjaya sebaliknya Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula diangkat sebagai Menteri Besar.

Perlembagaan Persekutuan

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat juga dinyatakan dalam Perkara 48 (1) seperti tidak sempurna akal, bankrap, memegang jawatan yang mempunyai pendapatan (seperti perkhidmatan), tidak mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya sebagaimana dikehendaki undang-undang selepas menjadi ahli parlimen atau ADUN mahupun agen pilihan raya.

Selain itu, apabila disabitkan dengan mana-mana kesalahan oleh mahkamah dan menerima hukuman penjara setahun ke atas dan didenda lebih daripada RM2000 dan tidak mendapat pengampunan bebas. Rafizi Ramli misalnya hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU-14 selepas disabitkan atas kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana memiliki dan mendedahkan laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) selain mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) kerana membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat.

PRK ialah untuk mengisi kekosongan kerusi baik di peringkat dewan undangan negeri atau parlimen. Namun, selain disebabkan oleh faktor kematian dan kelayakan terbatal sebagai wakil rakyat, terdapat politik pilihan raya kecil yang boleh dimainkan oleh ahli politik dan parti politik sendiri! –Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.