LANGKAWI: Pengunjung Crocodile Adventureland Langkawi di Jalan Teluk Datai di sini menerima tarikan baharu apabila taman tersebut mempamerkan seekor buaya jantan gergasi berukuran lebih 15 kaki dengan berat hampir satu tan, bermula semalam.

​​​​​​​Pengurus Operasi Taman Buaya Langkawi, Hasnul Yakin Mohammed berkata reptilia itu juga bakal mencipta sejarah sebagai buaya yang memiliki ukuran badan terpanjang dan terberat pernah ditempatkan dalam taman buaya di negara ini.​​​​​​​

​​​​​​​Katanya sebelum ini rekod buaya terbesar di pegang Bujang Lang yang berukuran 15 kaki 2 inci.

“Hari ini kita lancarkan produk terbaharu Taman Buaya Langkawi di mana kita pamerkan seekor buaya gergasi berukuran 15 kaki tiga inci seberat hampir satu tan. Buat masa ini, reptilia ini merupakan buaya terbesar yang pernah ditangkap di Malaysia.​​​​​​​

“Untuk proses seterusnya Taman Buaya Langkawi sedang menyediakan kertas kerja berkaitan sebelum mendaftar buaya ini dalam Malaysia Book of Records (MBOR),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Hasnul berkata serentak dengan pameran buaya gergasi tersebut, pihak pengurusan melancarkan pertandingan kepada orang ramai untuk menamakan buaya tersebut.

“Pertandingan dibuka hari ini hingga Rabu depan (6 Feb), pemenang akan terima hadiah wang tunai dan juga tiket masuk ke taman buaya ini. Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh dapatkan menerusi laman Crocodile Adventureland Langkawi,” katanya.–BERNAMA