KUCHING: Ekonomi Sarawak diunjur akan berkembang kukuh pada kadar 5 peratus pada tahun ini berbanding 4.6 peratus tahun 2018.

YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, perkembangan positif itu disokong oleh suntikan dalam pelaburan awam dalam melaksanakan pelbagai projek infrastruktur utama.

Menurut beliau, prestasi tersebut juga akan disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta selaras dengan kerancakan aktiviti ekonomi domestik dan global.

“Seperti yang saya nyatakan semasa Ucapan Belanjawan 2019, ekonomi Sarawak dijangkakan berkembang pada kadar 5 peratus untuk 2019 berbanding 4.6 peratus tahun lepas.

“Saya optimis bahawa ekonomi Sarawak akan berkembang pada kadar yang menggalakkan dalam beberapa tahun akan datang kerana dasar kerajaan negeri adalah ke arah pertumbuhan dan pemerkasaan ekonomi,” katanya dalam Perutusan Tahun Baru Cina 2019.

Ketua Menteri menambah, perbelanjaan untuk melaksanakan program pembangunan infrastruktur di Sarawak adalah tinggi pada tahun ini dan tahun akan datang.

“Kita (kerajaan negeri) tidak membatalkan projek, sebaliknya kita meneruskannya kerana kita mempunyai cara untuk membiayai projek-projek itu dengan mengenakan cukai 5 peratus ke atas minyak dan gas,” katanya.