KUCHING: Biro Wanita memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesejahteraan ekonomi dan sosial komuniti rumah panjang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

Beliau berkata anggota biro itu bertindak sebagai satu kumpulan sokongan dan akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesedihan dan berkongsi kegembiraan semasa meraikan perayaan.

“Biro Wanita membantu memelihara perpaduan antara rumah panjang dan kerjasama dalam menjamin keamanan dan keharmonian,” katanya ketika melancarkan Biro Wanita Rumah Linggie Keling di Sungai Langit, Betong di sini semalam. Uggah turut diiringi isteri, Datin Amar Doreen Mayang.

Mengulas lanjut, Uggah berkata setakat ini kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Saban mempunyai 94 Biro Wanita, yang anggotanya digalakkan aktif mempelajari pelbagai kemahiran untuk membantu menjana pendapatan keluarga.

Pada majlis itu, Uggah turut mengumumkan geran sebanyak RM5,500 kepada Biro Wanita Rumah Linggie dan geran RM200,000 untuk membina tembok penahan bagi menyelamatkan rumah panjang 37 pintu itu yang menghadapi risiko hakisan tanah di bahagian belakang penempatan itu.  — BERNAMA

Foto Benedict Blaki