ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Kulim Jumaat bagi membantu siasatan kes penderaan anak lelakinya yang berumur lima tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata lelaki itu dipercayai memukul anaknya menggunakan penyangkut baju plastik sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami lebam di beberapa bahagian badan pada 30 Jan lalu.

“Jumaat, kanak-kanak itu hadir ke tadika pada pukul 7.30 pagi dan seorang guru wanita melihat kanak-kanak itu berada dalam keadaan lesu, batuk dan terdapat kesan lebam dimukanya. Apabila guru terbabit bertanya kanak-kanak itu telah memberitahu bapanya telah memukulnya di rumah.

“Hasil pemeriksaan, guru terbabit menemui kesan lebam dibahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan, pipi kiri dan kanan dan di bahagian punggung. Guru wanita itu kemudian telah membuat laporan polis pada pukul 11.18 pagi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, kanak-kanak itu seterusnya dibawa ke Hospital Kulim dan pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan kecederaan mangsa adalah disebabkan dipukul menggunakan objek tumpul.

Ahmad Nasir berkata lanjutan daripada laporan yang dibuat, pihaknya telah menahan bapa kanak-kanak itu pada pukul 5.45 petang, Jumaat di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim semasa menjalankan Op Tahun Baru Cina.

Katanya, lelaki itu mengaku memukul anaknya kerana kanak-kanak itu nakal dan tidak mahu mendengar cakapnya.

“Siasatan awal, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Suspek yang ditahan telah diberi jamin polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.–BENAMA