KUCHING: Peristiwa berdarah di Sibu didedahkan melalui sebuah buku yang baru diterbitkan.

Buku itu bertajuk Peristiwa Berdarah 1949 di Sibu: Pejuang yang Tak Didendang ditulis oleh Dr Loji Saibi.

Ia mengisahkan pejuang bernama Yusuf Haji Merais, ayah kepada Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah.

Penerbitan buku ini pasti dapat menambah buku sedia ada berkenaan pembunuhan Gabenor Kolonial British Duncan Steward oleh anak tempatan Rosli Dhoby.

Buku lain yang pernah diterbitkan ialah Merdeka Dengan Darah oleh Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Duncan meninggal dunia tujuh hari selepas beliau ditikam dengan badik di Sibu oleh Rosli pada 3 Disember 1949.
Rosli dan rakan-rakannya dihukum gantung sampai mati pada 2 Mac 1950.

Loji berkata Yusuf ialah seorang anak muda yang berjiwa patriotik dan bergerak di bawah Persatuan Pemuda Melayu Sibu.

Buku setebal 73 halaman ini dijual pada harga RM20 di Sarawak dan RM25 di Semenanjung, Sabah dan Labuan.–Sarawakvoice