KUCHING: Hasrat untuk melihat syarikat penerbangan sendiri mungkin akan menjadi kenyataan.

Kewujudannya penting bagi membuka laluan ke lebih banyak destinasi strategik di rantau ini termasuk Jakarta dan Bangkok.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam berkata, ia sebenarnya satu cadangan lama yang dihidupkan kembali.

“Pada suatu ketika kita mahu ambil alih MASwings tetapi Penerbangan Malaysia, tidak mahu menjualnya,” kata beliau pada sidang media selepas melancarkan Sarawak Aircraft Livery pada pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Jelas Abang Johari, kerajaan sedang meneliti butiran lanjut tentang cadangan itu, tetapi berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

DIjangka syarikat Hornbill Skyways kemungkinan akan menjalankan operasi berkenaan.

“Kita akan mulakan secara kecilan dulu yang akan menghubungkan Kuching dengan destinasi strategik di rantau ini,” katanya.

Katanya lagi, kini para pelancong mahu penerbangan terus ke sesuatu destinasi kerana ia menjimatkan masa dan wang.

“Beri saya sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” kata Ketua Menteri lagi. –Sarawakvoice