Penduduk Rumah Dayong menerima faedah apabila Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang bermula 2017 dan siap sepenuhnya 2018 telah mula digunakan bagi manfaat penduduk.

Perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Rumah Dayong, Sungai Ipoh Bintulu telah dirasmikan Menteri Utiliti Sarawak YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom di Rumah Dayong ak Sapot, Sungai Ipoh Bintulu, hari ini.

Dato Sri Dr. Stephen Rundi dalam ucapannya berkata kerajaan akan sentiasa komited dalam memberi keselesaan kepada masyarakat luar bandar dengan menyediakan kemudahan dan prasarana asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik.

Jelasnya lagi, dalam Bajet 2019, YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.8 billion untuk membekalkan bekalan air bersih.

Manakala, sejumlah RM2.37 bilion lagi diperuntukan untuk membekal elektrik ke kawasan luar bandar.

Dato Sri Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut mengumumkan peruntukan berjumlah berjumlah RM70,000 untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk kegunaan baik pulih rumah panjang dan Biro Wanita Rumah Dayong.