KUCHING: Sarawak menyasarkan kehadiran lima juta pelawat tahun ini bersempena Tahun Melawat Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai usaha yang diambil termasuk kerjasama dengan AirAsia.

“Keputusan untuk menggunakan ‘aircraft livery’ ini adalah satu langkah pengiklanan yang tepat bagi mempromosikan kepelbagaian dan keunikan yang ada di Sarawak,” katankya pada sidang media selepas pelancaran ‘AirAsia Sarawak Campaign Livery’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Anggota Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar.

Sementara itu, Aziz berkata AirAsia akan mengenal pasti model perniagaan terbaharu bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Sarawak selain bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sarawak. — BERNAMA