MUKAH: Seorang penghuni rumah panjang yang hilang selepas turun ke Sungai Mukah, petang Rabu, ditemui lemas di Nanga Nirai Hilir, kira-kira dua jam perjalanan bot dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata mayat  mangsa, Ningkan Inggas, 56, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 3 petang, tidak jauh dari perahunya yang pecah ditemui di hilir sungai semalam.

“Tiada kesan kecederaan luaran atau kesan serangan buaya ditemui pada badan mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Bernama lewat petang ini.

Beliau berkata penghuni rumah panjang di Rumah Belayong, Nanga Kalai, Selangau, memberitahu isteri mangsa bahawa suaminya telah turun ke Sungai Mukah dengan mendayung berseorangan pada kira-kira jam 2.30 petang Rabu lalu.

Menurutnya, semalam, isteri mangsa membuat laporan polis selepas suaminya gagal pulang ke rumah sehingga keesokan harinya.

Susulan laporan tersebut, katanya, operasi SAR dilancarkan pada jam 2.30 petang semalam dengan disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat, katanya.

— BERNAMA