NJOMBE: Sepuluh kanak-kanak Tanzania meninggal dunia dengan telinga dan gigi mereka dicabut.

Kanak-kanak berusia 2-9 tahun ini turut dilaporkan kehilangan anggota tubuh lain.

Memetik BBC pada Selasa, Pesuruhjaya Njombe, Ruth Msafiri berkata, insiden ini ada kaitan dengan kepercayaan tahyul yang mengorbankan mangsa demi mereka mendapatkan bantuan alam ghaib.

Polis dilaporkan menahan suspek yang merupakan keluarga terdekat kepada tiga kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang sama.

Sepuluh kanak-kanak dilaporkan hilang di Njombe sejak awal Disember dan empat daripadanya ditemui masih hidup.

Wartawan melaporkan kenyataan beberapa dukun ditemui di wilayah tersebut, bahawa organ tubuh manusia memiliki sifat khusus yang dapat memberikan mereka kekayaan dan tuah.

Msafiri dalam kenyataannya mendesak ibu bapa dan penjaga agar waspada serta mengajar anak-anak mereka mengenali penjenayah.

Penjenayah biasanya mendekati kanak-kanak pada malam hari, ketika ibu bapa mereka keluar rumah.