MIRI: Tidak banyak yang sedar bahawa terdapat ramai anggota bomba wanita yang bekerja setaraf anggota bomba lelaki di negeri ini.

Salah seorang srikandi api ini ialah Maureen Sim Ah Lian, yang kini bertugas sebagai Ketua Balai di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Kini hampir tiga tahun beliau menggalas tanggungjawab Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi.

Maureen berasal dari Bintulu, memiliki darah campuran Cina dan Kayan.

Menurutnya, beliau bercita-cita sebagai anggota penyelamat sejak dari bangku sekolah lagi.

Mendapat pendidikan awal di SK Sibiew Chinese Bintulu, beliau kemudian berpindah ke SK Bukit Balai Tubau sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Sebauh.

Telah berkhidmat sebagai anggota bomba hampir 13 tahun, beliau pernah bertugas sebagai pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran di Pejabat Zon 6 Miri.

Beliau juga pernah beberapa kali mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak dalam Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) dalam acara renang. –Sarawakvoice