SELANGAU: Banjir besar yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh di sini pada 2015 menjadi penyebab utama kepada kedaifan sekolah terbabit.

Menurut Penolong Kanan SK Sungai Buloh Selangau, Jouny Sebli, paras air naik mendadak di awal pagi ketika murid-murid sedang nyenyak tidur waktu awal pagi.

“Kebanyakkan guru tidak pandai berenang kerana air di paras dada orang dewasa.

“Ini menyebabkan murid-murid asrama tidak dapat meredah banjir sehingga kami (guru) terpaksa mengangkat mereka satu persatu,” katanya.

Oleh itu, beliau amat gembira apabila SK Sungai Buloh dipilih oleh pihak swasta dalam inisiatif mereka membaik pulih sekolah melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kata Jouny, inisiatif pihak swasta melalui Musyati Mudajaya JV Sendirian Berhad (Sdn. Bhd) yang terlibat dalam pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi pakej kerja lapan amat dialu-alukan.

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di kawasan Sarawak sedikit unik apabila setiap kontraktor yang dilantik di 11 pakej kerja perlu mengambil sekolah dalam kategori daif sebagai anak angkat.

“Keperluan kritikal kami adalah kaurters guru apabila sebuah rumah (kaurters) terpaksa dikongsi oleh tiga buah keluarga.

“Namun, itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami dalam mendidik anak bangsa sehingga mencapai kelulusan 100 peratus menerusi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu,” tegas Jouny.

Tambahnya, keperluan kedua kritikal adalah tandas murid asrama yang hanya dua unit sahaja (lelaki dan perempuan) serta terpaksa berkongsi dengan murid harian.

PELAN … Ini merupakan pelan pembinaan semula dan naik taraf beberapa kemudahan di SK Sungai Buloh Selangau di Selangau. 

“Dengan pembinaan tandas tambahan oleh Musyati Mudajaya JV Sdn. Bhd nanti, maka, murid tidak perlu berebut-rebut ke kemudahan terbabit.

“Malah, dewan makan murid asrama juga semakin uzur dan tidak mampu menampung jumlah murid yang semakin bertambah,” ujarnya,

Katanya, 10 tahun lalu, jumlah murid di SK Sungai Buloh Selangau hanya 70 orang dan angka itu hampir sekali ganda yang kini mencecah 137 orang ekoran pencapaian rekod cemerlang UPSR.

Beliau turut memberitahu yang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ada menyalurkan dana untuk menaik taraf sekolah tetapi perlu berkongsi dengan sekolah daif lain di seluruh Sarawak.

Justeru, beliau berharap agar pihak swasta terus membantu dalam menaik taraf asrama sekolah terbabit dan kemudahan lain untuk keselesaan murid dan guru.

Sebanyak 81 rumah panjang di sekitar Selangau termasuk pekerja ladang kelapa sawit  di simpang Mukah menghantar anak-anak bersekolah di SK Sungai Buloh Selangau. –Sarawakvoice

DAIF … Kelihatan kaurters guru di SK Sungai Buloh yang daif di Selangau.