Gula Apong itu nama tempatan untuk gula merah yang dihasilkan di negeri Sarawak.

Dihasilkan daripada nira pokok nipah atau pokok apong produk ini memiliki rasa yang unik dan berbeza daripada gula lain. Tidak keterlaluan gula ini boleh dikategorikan sebagai salah satu produk eksotik di Sarawak.

Di Sarawak khasnya, pokok nipah cukup dikenali kerana banyak terdapat di negeri ini. Pokok ini tumbuh meliar dan hidup subur di kawasan tepi sungai.

Kabong adalah salah satu kawasan di negeri ini yang turut menghasilkan gula apong.

Salah seorang pengusaha, Shamsudin Jin, 56, dan isteri Puan Salahah Mud merupakan antara individu yang masih meneruskan perusahanan tradisi ini meski terpaksa berdepan pelbagai rintangan dalam kerja pembuatan gula apong pada era moden masa kini.

Bagi menghasilkan gula apong proses bermula dengan mendapatkan air nira pokok nipah dengan tangkai buah nipah yang dikenali sebagai ‘buah embatuk’ di potong.

Ini disusuli dengan proses ‘mengabit’ atau memotong hujung tangkai buah nipah menggunakan pisau khas bagi mengeluarkan nira. Kemudiannya di hujung tangkai yang terbit nira jernih dan manis ditadah bekas daripada ruas batang buluh untuk mengumpul nira. Bekas itu dibiarkan semalaman dan dikutip pada awal pagi hari berikutnya.

Nira yang telah dikumpul kemudiannya dituang kedalam kawah untuk dimasak sehingga menjadi gula.

Nira yang dimasak di dalam kawah besar mengambil masa sekitar lima ke enam jam untuk ia terbentuk menjadi gula.

Gula apong sangat popular sebagai bahan penambah perisa di dalam pembuatan kuih-muih tradisional dan bagi menambah kelazatan sesuatu masakan.

Selain itu, gula apong juga dipercayai memiliki kelebihan dan khasiat tersendiri seperti mengelak serta mengurangkan risiko menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

ADUN Kabong. Mohd. Chee Kadir dan isteri Meryani Haji Yasin berkesempatan bersama keluarga Shamsudin menyaksikan sendiri proses penghasilan Gula Apong Kabong secara dekat.

Chee yang telah menyalur pelbagai bantuan kepada pengusaha gula apong
di Kabong mahu agar perusahaan tradisi masyarakat Melayu di situ terus dihidup dan diperkasa demi kelangsungannya pada masa akan datang.

Beliau mahu perusaahan ini menjadi antara ikon Daerah Kabong yang mampu menarik perhatian pengunjung yang belum pernah melihat bagaimana gula apong dihasilkan.

Sudah pasti perhatian yang diberikan wakil rakyat itu merupakan sinar harapan untuk pengusaha gula apong di sini yang kini menyaksikan bilangan pengusaha gula tersebut semakin berkurangan dan jika tidak ada usaha memperkasa perusahaan itu tidak mustahil perusahaan berkenaan akan pupus dan tinggal sebagai catatan sejarah sahaja suatu masa kelak.

Apa yang penulis dapat perhatikan pada masa kini perusahaan berkenaan hanya dilakukan oleh golongan yang sudah berumur dan boleh dikatakan tiada penglibatan golongan muda dalam perusahaan ini pada masa kini.

Jika keadaan ini berterusan maka ia tiada kesinambungannya dan akan hilang ditelan arus masa sebagai mana semakin hilangnya pembuatan garam apong pada masa kini.

Apa yang pasti perusahaan gula apong di Kabong kini menongkah arus pembangunan dan penglibatan pihak berkenaan bagi meneruskan hayat perusahaan tradisi ini sesungguhnya amat ditagih.

Samsudin menerima sedikit cendera hati tanda kenangan daripada Mohd Chee Kadir sewaktu tinjauan ke pondok memproses gula apong di Kabong.