Sunday, July 3, 2022

Wartawan kecewa tidak dinamakan sebagai pertama membongkar isu Wang Kelian

Secara Rawak

GEORGE TOWN: Seorang wartawan yang pernah memenangi anugerah berprestij, pada Khamis melahirkan kekecewaan kerana tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya kerana membongkar isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

S. Arulldas, bekas wartawan Malay Mail, berkata laporan berita baru-baru ini mengenai isu berkenaan langsung tidak memberi kredit terhadap usaha beliau dan jurugambar akhbar tersebut, Sayuti Zainudin, yang pertama melawat dan melaporkan tentang isu di Wang Kelian itu pada 9 Mac, 2015.

“Kami mengambil risiko mempertaruhkan nyawa dan menanggung banyak kepayahan untuk membongkar kem tahanan pemerdagangan manusia dan kubur besar ini, yang mana 400 anggota keselamatan dan agensi berkaitan menemukan 139 mayat di kubur tersebut.

“Saya tidak faham mengapa mereka (laporan berita itu) tidak memberi pengiktirafan sewajarnya atau kredit kepada Malay Mail atau saya atau jurugambar yang menanggung risiko, kepayahan serta mengancam nyawa kami dalam mendedahkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Arulldas mengulas laporan berita baru-baru ini, selepas kerajaan mengumumkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sambil menyatakan bahawa “Pada Mei 2015, polis mengumumkan penemuan kem tahanan pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian.”

Beliau turut berkongsi bahawa mereka pada mulanya ke Perlis pada Disember 2014 untuk membuat tinjauan mengenai isu pendatang asing tanpa izin, namun semasa berehat di sebuah kedai kopi di Jitra, mereka terdengar cakap-cakap dalam kalangan penduduk di situ terdapat beberapa kem pemerdagangan manusia besar di Wang Kelian.

“Saya segera mengatur perancangan bersama jurugambar untuk meredah dan mendaki hutan berbukit untuk mengetahui (lebih lanjut) mengenai kubur besar tersebut, tetapi kami gagal dalam beberapa cubaan itu selepas hampir sesat,” katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata mereka tidak berputus asa, dan pada 13 Mei, dengan bantuan dua lelaki dari Thailand, mereka berjaya sampai ke lokasi tersebut melalui pusat pemeriksaan di Padang Besar.

“Dalam tempoh tersebut, kami menghasilkan lebih 100 laporan khas membongkar tindakan tidak berperikemanusiaan itu oleh sindiket pemerdagangan manusia dan ketidakadilan terhadap pendatang yang mencari tempat selamat,” katanya.

Beliau berkata akhbar Malay Mail pada masa itu menghasilkan beberapa berita, menyatakan mereka menemui dan mendedahkan kawasan berkenaan, dan tiada pihak mempertikaikan perkara tersebut.

Namun, beliau berkata sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris tempatan mendakwa mereka yang mendedahkan tentang isu tersebut.

Pada 2015, Arulldas dan Sayuti memenangi dua anugerah, daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Institut Akhbar Malaysia-Petronas kerana membongkar kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar di Wang Kelian.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru