Sunday, May 29, 2022

Sarawak sasar berada di pertengahan liga

Secara Rawak

SEBAGAI sebuah pasukan serba muda, pengendali baharu Sarawak, Farhan Abdullah, 50, tidak berani menaruh harapan menggunung terhadap anak-anak buahnya untuk ‘menggegar’ kancah saingan Liga Premier 2019.

Sebaliknya jurulatih yang berasal dari Bintulu itu mahu melihat skuad bimbingannya kekal bersaing dalam Liga Premier 2020. Jika berupaya naik ke Liga Super… ia dianggap sebagai satu bonus besar.

Farhan dibantu oleh bekas jurulatih Sarawak, David Usop yang cukup berpengalaman di pentas Liga Malaysia. Farhan dan David juga pernah bersama jurulatih ternama dari Belanda, Robert Alberts yang juga bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beberapa musim sebelum ini. Ikuti wawancara khas Sarawak Voice bersama Farhan.

Bagaimana kombinasi pemain setakat ini?

Persiapan kami berjalan lancar. Kami mengadakan kem latihan di Semenanjung Malaysia selama seminggu. Di sana kami “sparring” dengan tiga pasukan iaitu Selangor United, PDRM dan pasukan Liga Super, Melaka United. Apa yang kita lihat ada perubahan prestasi pemain dari perlawanan ke perlawanan. Itu yang kita cari. Dari situ kami mengenal pasti calon untuk mengisi 11 pemain terbaik untuk melengkapkan 11 posisi.

Bagaimana prestasi pemain sepanjang aksi persahabatan?

Pertama dari segi pengalaman, mereka baru bermain di peringkat tinggi, contoh lawan Melaka… di situ kita dapat mengesan banyak kelemahan. Oleh itu dalam perlawanan seperti ini amat memerlukan pengalaman pemain senior untuk membimbing pemain muda. Kita cuba atasi perkara ini.

Sarawak pasti akan menaruh harapan tinggi terhadap pemain senior berpengalaman, terutama Muamer Salibasic dan Bobby Gonzales.

Mereka masih dalam proses pembentukan kombinasi mantap, tetapi saya yakin mereka akan serasi. Pengalaman lalu (2013) pasti akan membantu mereka. Saya akui khidmat mereka amat penting, bukan sahaja untuk kekuatan pasukan, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk memimpin barisan pemain muda kita.

Sebagai jurulatih baharu, apakah sasaran anda dalam musim pertama ini.

Sebenarnya saya tidak berani buat sasaran yang tinggi kerana pasukan ini terlalu muda dan serba baharu. Ramai pemain muda yang berusia dalam lingkungan 19, 20 dan 21 tahun. Yang senior ialah Bobby Gonzales, Muamer Salibasic, Benedict Martin dan Shamie. Kami berharap akan kekal dalam Liga Premier musim depan… sekurang-kurangnya berada di pertengahan liga.

Jangkaan anda dalam aksi pertama menentang Negeri Sembilan Sabtu ini.
Kami turun sebagai pasukan “underdog”. Bagaimanapun kami akan cuba buat kejutan. Jika boleh seri ia satu keputusan yang baik. Kami tidak mahu harapkan sesuatu yang keterlaluan. Tetapi hakikatnya kami turun dengan misi untuk meraih tiga mata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru