PUTRAJAYA: Populariti mendadak yang dikecapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya sekadar di media sosial sahaja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, populariti itu tidak menggambarkan realiti sebenar, dan Najib tidak dikira sebagai satu ancaman buat kerajaan.

Mengenai kritikan yang diutarakan Najib kepada kerajaan melalui laman Facebook dan Twitter, Dr Mahathir bertanya kembali, mengapa segala kritikan itu tidak diselesaikan sendiri sewaktu Najib menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Mengapa dia tidak buat semua perkara itu sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu? Jika dia buat, kemungkinan besar dia masih lagi jadi Perdana Menteri sekarang.

“Masa zaman dia, apabila orang ditangkap, belum didakwa sudah terpaksa memakai baju oren (pakaian lokap) dan sebagainya.

“Tetapi zaman ini, dia masih lagi bebas pergi ke mana mana memberi ceramah dan sebagainya. Ini menunjukkan kami ini kerajaan yang adil, bukan diktator,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.