LABEL pasukan serba muda bukanlah alasan untuk Sarawak diperkotak-katikkan dalam saingan Liga Premier musim ini.

Bagi ketua pasukan Sarawak, Bobby Gonzales, 35, barisan pemain Sarawak 2019 yang sebahagian besarnya berusia 19 hingga 21 tahun perlu memiliki semangat kental dan keyakinan diri yang tinggi untuk mencipta kemenangan.

Pengalaman bersama pasukan Malaysia, Perak, Sabah, KL Plus dan Sarawak menjadikan Bobby sebagai antara penyerang bermutu tinggi di Malaysia.

Pesanan beliau kepada pemain Sarawak ialah; “Kekal fokus, jangan mudah mahu mengalah… semangat perjuangan kena ada, hati kena besar besar untuk menang.”
Sarawak akan turun menentang Negeri Sembilan dalam aksi pertama Liga Premier 2019 di Stadium Tunku Abdul Rahmain, Paroi Sabtu ini (8.45 malam).

DENGAR SINI… Jurulatih Sarawak, Farhan Abdullah (kiri) memberikan taklimat kepada anak-anak buahnya sebelum sesi latihan ringan. Foto AS

Bobby yang menjaringkan sekitar 23 gol bersama Sarawak pada 2013 sedar tugas beliau bersama Muamer Salibasic selaku watak penting pasukan cukup mencabar musim ini. Mereka adalah ‘mesin gol’ Sarawak 2013… dengan 42 jaringan.

“Musim 2013 sudah pun berlalu, ia cerita lama. Untuk masa akan datang saya dan Salibasic perlu bekerja lebih keras lagi,” jelas Bobby.

“Ini kerana setiap hari bola sepak semakin ke hadapan… semakin maju. Kita perlu ikut rentak, ikut apa yang diarahkan oleh jurulatih,” katanya.

Bagi Bobby, beliau tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap bersama Salibasic walaupun sudah lima tahun tidak bersama.

“Saya tidak ada masalah dengan Salibasic dan saya senang untuk bekerja dengan beliau.

Kami masih mempunyai sentuhan dan gandingan yang baik dari perlawanan ke perlawanan,” kata Bobby merujuk kepada tiga aksi persahabatan di Semenanjung baru-baru ini.

Ketika itu Sarawak mengatasi Selangor United 2-0, tewas kepada PDRM 2-0 dan kalah di tangan skuad Liga Super Melaka 3-0.

Apa yang pasti, skuad Sarawak begitu sinonim dengan nama Bobby, kerana sebelum ini pernah memiliki dua Bobby iaitu Bobby Pian (tengah) dan Bobby Chua (pertahanan) pada musim 1994 hingga 2006.

Bobby Pian merupakan anak tempatan Sarawak yang berasal dari Kuala Baram, Miri. Beliau merupakan bekas kapten Malaysia (1999 hingga 2001). Manakala Bobby Chua merupakan anak kelahiran Sabah, sama dengan Bobby Gonzales.

BOBBY… Terajui jentera serangan.

PROFIL BOBBY
* NAMA PENUH: Bobby Gonzales
* POSISI: Penyerang
* TARIKH LAHIR: 15 Februari 1984
* UMUR: 35 Tahun
* ASAL: Beaufort, Sabah
* KETINGGIAN: 5 kaki 7 inci
* BERAT BADAN: 70 kilogram
* ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik.
* PENGALAMAN: Menyertai pasukan Malaysia, Perak, Sabah, Sarawak dan KL Plus.
* PENCAPAIAN: Membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana 2013 dan ke separuh akhir Piala Malaysia 2013.