KUCHING: At Adau sekali lagi mencipta sejarah sekali gus menaikkan nama Sarawak apabila album kedua mereka dilancarkan pada 30 Januari 2019.

Berlangsung di pejabat Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di sini, album kedua bertajuk Oba yang bermaksud ‘cinta’ dalam bahasa Kenyah, lebih bertenaga daripada album pertama ‘Journey’.

Dalam pembikinan album ini, At Adau bekerjasama dengan penerbit tempatan NPO, Catsound Co dengan visi mengembangkan industri muzik ekosistem tempatan sejajar dengan perkembangan semasa seni muzik negeri.

Menurut Ketua Penerbitannya, Jackson Lian, album kedua mereka, Oba yang bermaksud ‘cinta’ dalam bahasa Kenyah, lebih bertenaga daripada album pertama ‘Journey’.

Dengan kerjasama Catsound katanya, kedua-dua pihak merancang membangunkan industri muzik tempatan sejajar dengan perkembangan semasa.

Foto Jiwa Bakti

Catsound merupakan sebuah entiti tidak memperoleh keuntungan yang memberi fokus untuk mengembang dan membangunkan eko muzik tempatan supaya setanding dengan standard antarabangsa dan menjadikan bandar raya perpaduan Kuching sebagai bandar raya terkenal dengan seni muzik.

Majlis pelancaran itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzee Datu Salleh Askor.

Yang turut hadir rakan STB iaitu Penerbangan Malaysia diwakili Pengurus Jualan Penerbangan Malaysia Cawangan Kuching, Alias Suut, wakil Yayasan Karnaen dan Empire Global Media Sdn. Bhd. Hazizulkarnaen Hassan dan Pengarah Eksekutif Aerodyen Kenyalang Sdn Bhd, Clifton Dile.

Dalam ucapan ringkasnya, Sharzee berkata, pelancongan berbentuk seni muzik merupakan landasan untuk memperkenalkan Sarawak ke peringkat luar melalui Kempen Mengenali Sarawak.

“Melalui seni muzik, kita juga boleh memperkenalkan keunikan negeri ini kepada dunia dan melonjakkan destinasi kedudukan Sarawak daripada nombor tujuh kepada tempat ketiga teratas,” katanya.

Sehubungan itu, Sharzee menggesa syarikat radio dan media tempatan supaya menyokong usaha mereka untuk menyebarluas produk berkenaan ke seluruh dunia untuk membolehkan Sarawak terkenal di pantas dunia.

At Adau hakikatnya mahu memperkenalkan seni muzik Sarawak di seluruh pelusuk dunia dan meletakkan seni muzik komersial tempatan setanding dengan senimuzik dunia.

Dengan pelancaran album itu, mereka merancang untuk mempermainkan semasa pesta-pesta muzik terbesar di seluruh dunia dan bertukar-tukar budaya pada pesta-pesta berkenaan.

At Adau telah menjadi duta muzik Sarawak di bawah rakan kongsi bijak bersama STB dan Penerbangan Malaysia.

Untuk mendapatkan album itu, sila lawati media sosial At Adau di laman web www.atadau.com, dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Catsound bolehlah melayari media sosialnya di laman web catsound.com. Sila layari juga www.sarawaktourismboard.com untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Mengenali Sarawak.