Sunday, August 14, 2022

Semak kesahihan sebelum sebar maklumat di media sosial — Julaihi

Secara Rawak

SEBUYAU: Golongan remaja dan masyarakat luar bandar yang baru berjinak dengan dunia media sosial dilihat lebih cenderung untuk percaya kepada maklumat tidak sahih dan palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.27 Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, daripada statistik secara rawak dan pemerhatian yang diperoleh melalui laman sosial facebook Pusat Khidmat ADUN N.27 Sebuyau, rata-rata pengikut yang memberi atau berkongsikan maklumat tidak sahih terdiri daripada dua kumpulan ini.

Ini mungkin disebabkan mereka baru dalam dunia media sosial dan cara pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak benar tersebut begitu meyakinkan.

Di tambah pula dengan pengetahuan pengguna media sosial yang masih lagi baru, maka mereka ini mudah percaya dengan apa yang dilihat mahupun dibaca di telefon pintar masing-masing.

“Janganlah disebabkan mesej yang disebarkan itu datangnya dari kawan baik anda, maka maklumat yang disampaikan itu dianggap sebagai benar belaka. Elakkan juga daripada terlalu terikut-ikut dengan emosi apabila menerima sesuatu mesej yang belum ditentukan kesahihannya,” katanya.

Ada masanya, penyebaran maklumat yang tidak sahih ini boleh membawa kepada keburukan seperti tindakan undang-undang atau mengaibkan peribadi pihak yang tidak bersalah malah mengundang kepada perpecahan keharmonian masyarakat.

“Tidak semestinya apa yang dipaparkan dalam media sosial adalah benar belaka. Semak sebelum sebar atau percaya,” jelas Julaihi yang juga Menteri Muda Jalan Pesisir Negeri Sarawak.

Program Randau Pembangunan Sosial 2019 Daerah Kecil Sebuyau anjuran Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Sarawak diadakan di Rumah Panjang Belimbing Besi, Klait Sebuyau.

Turut hadir ialah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Residen Samarahan, Berahim Lumpu: SAO Sebuyau, Ajis Maji dan ketua rumah panjang Belimbing Besi, Tr Lingga.

Beliau turut menambah, pengguna media sosial perlulah mengikis sikap suka menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihan kepada orang lain semata-mata untuk menjadi ‘hero’ kononnya tindakan itu akan membantu walhal kesan sebaliknya pula yang akan berlaku.

“Ingin saya mengambil contoh di kawasan dewan undangan Negeri N.27 Sebuyau dimana ada pihak yang kerap menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih kebenarannya tentang pelbagai isu. Tetapi apabila pihak tampil memberikan jawapan sebenar, pihak penghasut tadi dengan segera memadam status yang dimuat naik,” tambah beliau lagi.

Antara laman sosial dan aplikasi popular digunakan masa kini ialah Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan pelbagai lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru