KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak tidak melepaskan peluang turun memberi sokongan moral dan menjenguk skuad bola sepak Sarawak menjelang aksi pertama Liga Premier 2019 pada 2 Feb ini, menentang Negeri Sembilan di tempat lawan.

Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam berharap tiada lagi isu luar padang seperti yang didengari sebelum ini iaitu isu lewat pembayaran gaji dan sebagainya yang boleh menjejaskan prestasi pemain dan pasukan.

TUNJUK KEMAHIRAN… Penyerang utama Sarawak, Bobby Gonzales menimang bola ketika sesi latihan di Padang C, Petra Jaya Kuching. Sarawak akan menentang Negeri Sembilan dalam aksi pertama Liga Perdana 2019 di Stadium Paroi Sabtu ini. Foto AS

“Walaupun pasukan kali ini dibarisi ramai pemain muda, AMK Sarawak percaya pasukan ini mampu menyaingi pasukan lain dan merealisasikan impian penyokong setia Ngap Sayot.

“Untuk pengurusan, sekali lagi AMK Sarawak berharap agar kebajikan pemain dapat dijaga dan diberi perhatian khususnya kepada pemain-pemain muda kerana mereka adalah aset penting untuk pasukan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa kepada semua penyokong tegar Ngap Sayot untuk penuhkan stadium pada musim ini bagi memberi sokongan padu kepada skuad Bujang Senang itu.

Perlawanan pertama Sarawak di laman sendiri bertemu Pulau Pinang pada 9 Feb ini.

— BERNAMA