KUCHING: Impian penduduk utara Pulau Bruit hampir pasti menjadi kenyataan apabila projek pesisir sepanjang 16.1 kilometer menghubungkan tiga kampung dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Pembinaan jalan Kampung Tekajong, Salah Kecil dan Kampung Penuai merupakan projek yang ditunggu -tunggu penduduk sejak sekian lama.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, projek yang bernilai hampir RM19.3 juta itu dijangka siap sepenuhnya Mei 2020.

Menurutnya, projek fasa pertama melibatkan pembinaan jalan sejauh 8.2 kilometer bermula dari Tekajong ke Kampung Salah Kecil manakala fasa kedua pula, meliputi Salah Kecil ke Kampung Penuai sejauh 7.9 kilometer.

“Kemudahan ini bakal memudahkan perhubungan penduduk yang sebelum ini bergantung sepenuh dengan sungai dan laut.

“Bahkan, ia memendekkan lagi jarak perjalanan mereka ke kawasan feri Sungai Lassa dan Paloh,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan projek itu semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab.

Beliau memberitahu, sebaik sahaja pelaksanaan projek itu siap, kerja menaik taraf jalan sepanjang 10 kilometer dari Sungai Nai akan bermula.

Menyentuh mengenai perkembangan projek Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, ia sudah ditender manakala Muara Lassa pula dalam proses penilaian kontraktor yang layak.

“Kerajaan Sarawak komited melaksanakan usaha ini untuk manfaat rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Melalui kemudahan yang disediakan itu, kita berharap mereka dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan taraf hidup.

“Semua ini atas usaha dan inisiatif kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.