SARIKEI: Satu kemalangan ngeri berlaku di di Jalan Bulat di sini, petang tadi membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan sebuah bas.

Dalam kejadian itu, lelaki penunggang motosikal maut di tempat kejadian. Mangsa rentung apabila motosikal dan bas yang bertembung terbakar.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Norhaliszam Bongsu. Sementara itu, seorang pemandu, konduktor, seorang pegawai tiket dan empat penumpang yang menaiki bas berkenaan terselamat dalam insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Awang Alfian Awang Bujang mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan bas dalam perjalanan dari Sibu menghala ke Sarikei.

Menurut Awang Alfian, motosikal terbabit dipercayai dipandu laju selepas memotong sebuah lori dan memasuki laluan bertentangan dan seterusnya bertembung dengan bas.

Kes disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Balai Bomba Sarikei, Suna Kaha berkata, mangsa rentung kerana terperangkap di bawah bas.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.20 petang dan dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan seterusnya.  — Sarawakvoice

i