Minggu lepas, saya duduk bersembang dengan seorang kawan baik saya sambil menikmati kopi panas dan keropok lekor di salah sebuah warung di bandar raya Kuching.

Dua cawan kopi menemani kami berdua lebih kurang sejam setengah. Tidak sah jika topik perbualan tidak berkisar berkenaan dengan politik. Apabila bercakap tentang politik ini, satu malam pun tak akan habis. Perbualan kami berkisar berkenaan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kita meneropong masa depan GPS dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang dijangka diadakan pada 2021. Ya, kita meneropong seperti babak dalam cerita P. Ramlee iaitu Pendekar Bujang Lapok meneropong di mana Raja chulan menyembunyikan puteri kesayangan Raja Pasir Bedengung.

Kehebatan teropong mereka menyebabkan Pendekar Bujang Lapok ini berjaya mengetahui lokasi Puteri kesayangan Raja Pasir Bedengung.

Minggu lepas, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang merupakan parti komponen dalam GPS menyatakan dengan amat yakin serta optimis yang GPS dapat tawan PRN 12 nanti dengan pertambahan lebih banyak kerusi yang mereka ada sekarang, iaitu 72 kerusi daripada 82 kerusi. Adakah Masing sudah meneropong apa yang yang bakal terjadi pada PRN 12 nanti? Keyakinan Masing ini sudah pasti lebih ajaib daripada teropong yang digunakan Pendekar Bujang Lapok dalam filem mereka.

Masing terkenal sebagai pemimpin Dayak yang berani bersuara tetapi tidak konsisten. Pemimpin Dayak yang dikenali juga sebagai Remaong Balleh ini pernah juga menyatakan ‘sink and swim with BN’ sebelum PRU-14 lepas bagi menyatakan betapa beliau menyokong kepemimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mutakhir ini, Masing menyatakan bahawa selama ini Sarawak telah dijajah oleh Malaya. Andai kata, selepas PRU-14 lepas BN masih menang, adakah pemimpin yang mempunyai 37 tahun pengalaman dalam politik ini berani untuk memberi kenyataann begini? Terpulang kepada anda untuk menjawab persoalan ini.

PRS yang telah kehilangan tiga kerusi parlimen semasa PRU 14 lepas sepatutnya perlu berhati-hati dalam mendepani PRN 12 nanti.

Takut nanti PRS boleh kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh menjejaskan peluang GPS terus gah mengemudi bahtera bumi kenyalang.
Sepatutnya Masing perlu menilai kembali ke semua kerusi DUN PRS sama ada masih boleh selamat atau tidak semasa PRN-12 nanti terutama kerusi DUN dalam tiga parlimen yang kalah PRU-14 lepas.

Untuk rekod, tiga parlimen PRS tewas semasa PRU-14 lepas ialah Lubok Antu, Julau dan Selangau. Antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan ketiga-tiga kerusi Parlimen ini adalah disebabkan pengundi di kawasan tersebut tidak berpuas hati kepada kepemimpinan Masing yang memecat penyandang bagi parlimen Lubok Antu dan Selangau. Apa yang pasti, tindakan Masing ini akan terus kekal di ingatan para pengundi di kawasan tersebut.

Setelah pelancaran GPS pada 19 Januari lepas, Masing tiba-tiba mempersoalkan serta menyeru kesemua parti komponen dalam GPS untuk berbincang mencari seorang ketua yang terbaik untuk memimpin Sarawak. Apakah maksud Presiden PRS ini?

Namun begitu, sehari selepas itu Masing terus menyatakan yang Abang Jo merupakan seorang Ketua yang terbaik untuk mengemudi Sarawak.

Ternyata James Masing ini tidak berfikir jauh sebelum mengeluarkan kenyataan. Perkara sebegini sering kali berlaku, namun tiada tindakan dilakukan oleh GPS.

Apa yang penting sekarang, James Masing harus memikirkan strategi PRS mendepani PRN ke-12 nanti. Sebarang kesilapan bakal menyaksikan PRS akan kehilangan kesemua kerusi semasa PRN ke-12 nanti termasuk kubu kuat Masing di Balleh.

Mungkinkah Masing akan berundur sebelum PRN ke – 12 nanti demi memastikan PRS terus relevan? Tidak dinafikan pengalaman 37 tahun dalam arena politik Sarawak mungkin boleh memberi kepada Masing meneropong apa kemungkinan berlaku semasa PRN ke-12 nanti. Apa pun, sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman Masing perlu memikirkan strategi untuk PRS bagi membantu GPS terus berkuasa selepas PRN ke – 12 nanti.

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.