SARIKEI: Tabung Masjid Al-Ansar Kampung Selalang dipecah pencuri sebelum subuh hari ini.
Tabung berkenaan yang diletakkan di salah sebatang tiang di dalam masjid tersebut diumpil hingga terkopak dan rosak.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan imej dua orang lelaki bertopi keledar memasuki masjid tersebut kira-kira jam 4. 58 pagi.
Kejadian kecurian wang tabung masjid kampung itu bukanlah yang pertama kali berlaku.
Sebelum ini tabung masjid berkenaan yang diperbuat daripada kayu turut dilarikan pencuri menyebabkan pihak pengurusan masjid terpaksa membuat tabung baharu yang diperbuat daripada besi dan dipatri ditiang masjid supaya tidak dapat dilarikan pencuri.
Namun pencuri bertindak mengumpil bahagian pintu tabung dan memotong mangga kunci dengan alat pemotong besi.
Setiausaha Pengurusan Masjid, Cikgu Zakaria memberitahu kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan.
“Pihak Polis Sarikei telah datang dalam pukul 1 petang tadi bagi membuat siasatan.Turut sama ketika siasatan dibuat ialah Pengerusi JKKK Selalang, Haji Akim Lauda. Pihak polis turut meneliti dan mengambil rakaman CCTV untuk membantu siasatan.
“Selain kejadian curi wang tabung masjid sebelum ini turut berlaku kecurian kipas angin di masjid, ” ujarnya.
Zakaria berharap kepada orang ramai yang ada terlihat kehadiran dua lelaki ke kawasan masjid berkenaan malam tadi tampil memberi kerjasama bagi membantu pihak polis mengesan pencuri terlibat seterusnya mencekup pencuri terlibat. –Sarawakvoice