JURULATIH baharu Sarawak, Farhan Abdullah, 50, tidak berani menaruh harapan tinggi terhadap pasukan kali ini kerana majoriti pemain adalah tenaga muda yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 21 tahun.

Bagi Farhan, skuad 2019 lebih kepada pembentukan semula pasukan yang akan mengambil masa untuk tampil serasi sebagai barisan serba mantap.

Oleh itu, Farhan yang berasal dari Bintulu mengambil pendekatan merendah diri menjelang perlawanan pertama Liga Perdana 2019, menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi Sabtu ini (2 Februari).

“Kalau kami boleh seri dalam aksi pertama… ia sudah dikira satu keputusan yang bagus,” kata Farhan ketika ditemui Sarawak Voice.

“Apa yang pasti kami akan turun sebagai pasukan “underdog”. Oleh itu, kami tidak mengharapkan sesuatu yang keterlaluan,” jelasnya.

TUNJUK KEMAHIRAN… Penyerang utama Sarawak, Bobby Gonzales menimang bola ketika sesi latihan di Padang C, Petra Jaya Kuching. Sarawak akan menentang Negeri Sembilan dalam aksi pertama Liga Perdana 2019 di Stadium Paroi Sabtu ini. Foto AS

Lagi pula N. Sembilan merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana musim ini. Skuad ‘Jang’ itu dibimbing oleh jurulatih berpengalaman yang juga bekas pemain pertahanan Malaysia era 90-an, Mat Zan Mat Aris.

Beliau dibantu oleh bekas jurulatih Sarawak, Muhamad Zaki Sheikh Ahmad (penolong jurulatih). Mat Zan mengemudi Melaka United menjuarai Liga Perdana 2016.

Bagaimanapun, bagi Farhan, label “underdog” tidak akan menghalang mereka untuk melakar kejutan.
Apa yang pasti, Sarawak mengharapkan sentuhan dua penyerang senior, Bobby Gonzales dari Sabah dan Muamer Salibasic dari Bosnia untuk menggegar arena Paroi.

Gandingan tersebut telah memastikan trofi Liga Perdana 2013 milik Sarawak. Ketika itu Sarawak dibimbing oleh jurulatih import dari Belanda, Robert Alberts yang juga bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Farhan, barisan pemain muda Sarawak memerlukan bantuan pemain senior dalam membentuk kekuatan.

“Mereka (pemain muda) menunjukkan peningkatan dari perlawanan ke perlawanan… saya percaya mereka mampu lebih serasi selepas beberapa perlawanan,” ujarnya.

Sarawak telah mengharungi tiga aksi persahabatan di Semenanjung baru-baru dengan dengan kemenangan 2-0 ke atas Selangor United, tetapi kalah 2-0 kepada PDRM dan tewas 3-0 kepada Melaka United.

Bagi pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), 2019 merupakan musim penting, sekurang-kurangnya untuk proses transformasi pasukan setelah gagal meraih sebarang pengiktirafan sejak 2014 hingga 2018.

REKOD & PENCAPAIAN SARAWAK

1992: Juara Piala FA (Alan Vest)
1997: Juara Liga Perdana (Alan Vest)
1998: Juara Piala Sumbangsih (Alan Vest)
2013: Juara Liga Perdana (Robert Alberts)
1999: Final Piala Malaysia (Jalil Ramli)
1996: Final Piala FA (Alan Vest)
2000: Final Piala FA (Jalil Ramli)
* Dalam kurungan jurulatih pasukan

JADUAL LIGA PERDANA 2019
JUMAAT (1 Februari)
PDRM Lwn UiTM
P. Pinang FA Lwn T-Team

SABTU (2 Februari)
N. Sembilan Lwn Sarawak
Sabah Lwn JDT II
PBMS Lwn Kelantan
UKM Lwn Perlis

–Sarawakvoice