KABONG: Selepas lebih enam jam berdepan detik cemas dilambung ombak di tengah lautan akhirnya lapan anak kapal terlepas daripada maut apabila mereka diselamatkan oleh bot nelayan dari Kampung Beladin kira-kira jam 11. 30 pagi.

Kapal kargo MV Bahagia Maju yang sarat dengan muatan cerucuk konkrit dan juga pembentung konkrit itu bertolak dari Kuching pada 28 Januari kira-kira jam 4. 30 petang menuju ke Sibu.

Menurut Kapten Kapal, Zaw Min Tun kapal tersebut bertolak dari Kuching dalam keadaan yang elok kerana baharu sahaja keluar dari tempat penyelenggaraan di dok atau limbungan kapal di Kuching.

Semasa bertolak cuaca ketika itu juga katanya cukup elok. Namun ketika berada di kawasan sekitar 8 batu nautika dari Kuala Rajang kapal mereka dibadai ombak besar.

Menceritakan detik cemas itu, Zaw Min Tun yang berasal dari Myanmar memberitahu kapal mereka berdepan cuaca buruk kira-kira jam 3. 30 pagi dengan ombak besar membadai kapal kargo itu menyebabkan air memenuhi kapal yang sekali gus mematikan semua sistem termasuk enjin kapal.

“Kami tidak dapat buat apa-apa lagi untuk menyelamatkan kapal kerana usaha kami menimba air dari kapal tidak berhasil. Dan kapal makin senget dan makin tenggelam.

“Kami turunkan rakit keselamatan dengan membawa bersama dokumen pengenalan diri yang sempat diselamatkan termasuk telefon bimbit kira-kira jam 4. 30 pagi.

“Kami bergelut menyelamatkan nyawa dalam keadaan gelap dan laut yang bergelora. Dalam pukul 6 pagi baru kami dapat membuat panggilan telefon untuk meminta bantuan, ” ujarnya.

Tambahnya sepanjang tempoh menunggu bantuan mereka bertarung nyawa mengendalikan rakit di lautan sambil berharap akan ada kapal lain yang lalu.

Tempoh lebih enam jam berada dalam rakit keselamatan menyebabkan beberapa orang daripada mereka telah mula keletihan dan lemah.

Mujurlah ada sebuah bot nelayan dari Kampung Beladin yang sedang menangkap ikan terlihat objek berwarna jingga berada di tengah laut.

Tiga nelayan yang berada di dalam bot tersebut memberitahu mereka pada mulanya takut juga hendak menghampiri objek berkenaan kerana bimbang akan ancaman keselamatan.

Namun setelah terlihat ada kelibat orang melambai tangan meminta bantuan mereka terus datang hampir dan memberi bantuan.

Kesemua mangsa yang sudah agak lemah dibawa naik ke dalam bot dan rakit keselamatan ditunda oleh bot nelayan itu menuju ke jeti Kabong.

Mangsa kapal karam bersyukur kerana selamat dan mengucapkan terima kasih kepada nelayan yang menyelamatkan mereka tidak terkecuali pihak Maritim Malaysia, serta kepada pihak Klinik Kesihatan Kabong yang memberi rawatan dan makanan ketika mereka di bawa ke klinik tersebut sebelum mereka dibawa balik ke Sibu petang tadi.

Mangsa yang terselamat ialah Zaw Min Tun (Myanmar), Vikram Chand (India), Ting Tiew Hing (Malaysia), Rambau Landa (India), Tokito Khuwoto Chishi (India), Suprayoga (Indonesia),
Atchuta Rao Chepra (India) dan Wong Sie Soon (Malaysia) –Sarawakvoice

Salah seorang mangsa diambil keterangan oleh Sarjan Lidam di Klinik Kesihatan Kabong
Tiga nelayan dari Kampung Beladin menyelamatkan mangsa kapal karam