Sunday, May 29, 2022

Kapal kargo karam, 8 anak kapal diselamatkan nelayan

Secara Rawak

KABONG: Lapan anak kapal kargo MV Bahagia Maju yang karam di kawasan 8 batu nautika dari Boya Nombor 1 Kuala Rajang telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan dan di bawa ke sini kira-kira jam 1. 20 petang tadi.

Komander Maritim Mohd Ariz Bin Md. Kassim yang juga merupakan Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 2 petang sebaik semua mangsa ditemui selamat.

Kapten Kapal MV Bahagia Maju, Zaw Min Tun yang berasal dari Myanmar memberitahu kapal tersebut telah bertolak dari Kuching jam 4. 30 petang pada 28 Januari.

Min Tun yang sudah tiga tahun bertugas mengendali kapal kargo itu dan boleh berbahasa Melayu pasar memberitahu kapal berkenaan berdepan ombak besar dan dimasuki air kira-kira jam 3. 30 pagi.

Kapal berkenaan yang sudah dimasuki air menyebabkan berlakunya kerosakan enjin dan sistem lain yang akhirnya mula tenggelam.

“Kami sudah tidak dapat selamatkan kapal dan hanya sempat membawa beberapa dokumen penting sebelum menaiki rakit keselamatan.

“Pukul 4. 30 pagi kami sudah berada dalam rakit tapi tak dapat telefon kerana masalah tiada servis. Pukul 6 baru kami dapat buat panggilan untuk minta bantuan, ” ujarnya.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kabong untuk pemeriksaan dan rawatan. Mereka juga diberi makanan bagi mengalas perut sementara menunggu tindakan lanjut.

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Zaw Min Tun (Myanmar), Vikram Chand (India), Ting Tiew Hing (Malaysia), Rambau Landa (India), Tokito Khuwoto Chishi (India), Suprayoga (Indonesia), Atchuta Rao Chepra (India) dan Wong Sie Soon (Malaysia).

Berita lanjut tentang insiden kapal karam ini akan menyusul selepas laporan ini. –Sarawakvoice

Komander Maritim Mohd Ariz Bin Md. Kassim yang juga merupakan Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis.

Kapten Kapal MV Bahagia Maju…

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru