Friday, August 19, 2022

Hantar mesej lucah, penganggur dipenjara lima bulan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Akibat mengaibkan seorang wanita dengan menghantar mesej berbaur lucah menerusi aplikasi WhatsApp tahun lepas, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhamat Mustazah Mukhtar, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan mengaibkan kehormatan wanita berusia 49 tahun dengan mengganggu kesantunan mangsa dan perbuatan itu didakwa dilakukan di Hotel Tamu, Jalan Raja Alang dalam daerah Dang Wangi pada kira-kira 1.30 tengah hari, 17 Dis lepas.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adila Noordin yang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh pula hanya merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan sudah insaf dengan perbuatan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 2 Jan tahun lepas.

Mengikut fakta kes yang diperakui oleh tertuduh, mangsa mengaku tidak mengenali tertuduh.

Mangsa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu setelah kerap menerima mesej yang mengandungi perkataan yang mengaibkan daripadanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru