Endowment Fund Sarawak (EFS) dikeluarkan hanya selepas usia 18 tahun

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Endowment Fund Sarawak (EFS) sebanyak seribu ringgit hanya boleh dikeluarkan apabila penerima mencapai usia 18 tahun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata, sekiranya anak tersebut meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun, waris boleh mengeluarkan EFS untuk pengurusan jenazah dengan mengemukakan Sijil Kematian Asal.

Menurut beliau, untuk mengeluarkan EFS penerima perlu mengemukan kad pengenalan kepada Bank Islam atau cawangannya.

Jelasnya lagi, EFS akan diuruskan oleh Bank Islam berdasarkan terma dan syarat-syarat yang dipersetujui di antara institusi kewangan dan kerajaan negeri Sarawak.

Beliau berkata demikian, semasa taklimat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai EFS di Wisma Wanita Jalan Sultan Tengah di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut beliau memberitahu borang pendaftaran EFS boleh didapati daripada Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) mulai 1 Mac 2019.

Setiap bayi warganegara Malaysia yang lahir di Sarawak atau di luar Sarawak layak untuk memohon EFS sekiranya kedua-dua atau salah seorang ibu bapa mereka merupakan pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus “K”.

Manakala bagi kategori anak angkat pula ibu bapa tersebut perlulah mempunyai Sijil Pengangkatan Anak yang sah.

Terbaru