Sunday, May 29, 2022

Eksekutif jualan di Miri mangsa Macau scam, rugi RM4,000

Secara Rawak

MIRI: Seorang Eksekutif Jualan menjadi mangsa penipuan macau scam setelah menerima satu panggilan yang mengarahkannya untuk membayar wang sebanyak RM2,459.15.

Menurut laporan yang dibuat oleh mangsa, suspek yang menggelarkan diri sebagai Khoo Waiy Keat menyatakan dirinya daripada Bank Negara Malaysia dan memaklumkan bahawa mangsa telah membuat pinjaman selama tiga bulan.

Bagaimanapun, mangsa menafikan perkara tersebut dan menyatakan tidak pernah membuat sebarang pinjaman.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa yang panik dengan perkara tersebut telah mengikut segala arahan daripada suspek untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun pihak ketiga iaitu akaun yang telah diberikan oleh suspek.

“Mangsa kemudian telah sedar bahawa panggilan tersebut adalah panggilan scam dan telah mengalami kerugian sebanyak RM3,999.62,”katanya.

Justeru itu, pihak polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis atau mana-mana jawatan dari agensi kerajaan dengan mengatakan anda terlibat dengan kes pinjaman bank, jenayah pengubahan wang haram atau apa-apa kes pertuduhan untuk mendapatkan duit daripada orang awam.

Kata Mustafa, pihak polis atau mana-mana agensi kerajaan tidak akan meminta orang ramai untuk membayar wang ke dalam mana-mana akaun peribadi dan orang ramai diminta untuk tidak sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil.

“Jika terdapat sebarang keraguan ketika menerima sesuatu panggilan telefon boleh menghubungi Balai Polis berhampiran untuk mendapatkan sumber yang sahih dari pihak polis.

“Orang ramai juga boleh melayari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan,”jelasnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru