Selepas saya menekan Kit Siang beberapa kali pada bulan Oktober lalu, beliau akhirnya mengeluarkan tweet yang berbunyi:

“Najib did not kill Teoh Beng Hock”.

Nampaknya, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) tidak dapat membersihkan nama saya bahawa saya bukan pembunuh Teoh Beng Hock tetapi pemimpin Agong DAP ini mampu berbuat demikian.

Bukan main lama. Hanya 10 tahun sahaja, jentera dan propaganda DAP meletakkan nama dan gambar saya bersama dengan mendiang Teoh Beng Hock dan menuduh saya sebagai pembunuh Teoh.

Mengapa Kit Siang dari dulu tidak berkata demikian bahawa saya bukan pembunuh mendiang Teoh?

Walaupun Kit Siang isytihar saya bukan pembunuh tetapi dia kata saya tetap bertanggungjawab terhadap kematian Teoh juga kerana pada masa itu, kerajaan ialah kerajaan saya.

Kini kerajaan yang sama adalah kerajaan parti anda dan tanggungjawab beralih kepada kamu. Pergilah siasat lagi jika mahu.

Jika kita mengikut logik Kit Siang, siapa yang patut bertanggungjawab ke atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami kecederaan kritikal semasa menjalankan tugas dua bulan dahulu?