MIRI: Seorang penjawat awam di sini kerugian RM1,200 gara-gara terpengaruh dengan iklan harga murah tayar kereta dalam Facebook semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak  Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang lelaki berusia 25 tahun pada mulanya ternampak iklan tawaran harga murah tersebut pada Jumaat (25 Jan) lepas dan terus bertanya nombor untuk dihubungi menerusi Facebook messenger.

“Berdasarkan nombor telefon bimbit yang diberikan menerusi Facebook messenger, mangsa menghubungi seorang lelaki bernama Wan Safarudin Wan Alias melalui Whatapps,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar hiasan

Mustafa berkata,  suspek meminta mangsa membayar RM1,200 sebelum tayar kereta dihantar dan mangsa telah memindahkan RM1,200 secara dalam talian ke akaun Maybank milik suspek.

“Setelah membuat pemindahan, suspek mendakwa berada di Sri Aman dan akan menghantar barangan melalui bas dari Sri Aman semalam dengan jangkaan tiba di stesen bas Miri pukul 11 pagi,”katanya.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak memberikan nama syarikat bas yang menghantar barangan itu dan setelah menyedari ditipu kerana suspek gagal dihubungi mangsa membuat laporan polis.

Beliau berkata, untuk kes kedua melibatkan iklan palsu telefon bimbit di Facebook seorang lelaki berusia 23 tahun yang bertugas sebagai pekerja sambilan di sini pada Khamis (24 Jan) lepas.

“Mangsa hendak membeli telefon bimbit jenis POCA F1 dan berhubung menerusi Whatapps dengan seorang penjual melalui talian 0163604872,”katanya.

Menurutnya, mangsa bersetuju membayar RM709 termasuk caj penghantaran dan mangsa telah membuat pembayaran pada hari yang sama (24 Jan) ke akaun Maybank atas nama Felix Abel Hiu Cheng

” Setelah bayaran dibuat  penjual memberitahu akan menghantar barangan tersebut pada  Jumaat (25 Jan) namun barangan tidak diterima pada hari dijanjikan, mangsa meminta menghubungi penjual tetapi gagal dihubungi dan disekat oleh suspek,”katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis.

— BERNAMA