Pakatan Harapan patut memandang serius signal kekalahan di CH sebagai mimpi buruk kemarahan rakyat yang akan dibawa sehingga PRU-15

Pandangan Ikhlas Penganalisa Politik- Dr Azmi AA

Umum telah mengetahui BN merupakan pemegang kerusi Parlimen CH sejak berzaman lagi.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah kemenangan bergaya ini walaupun PH adalah pemegang kuasa di Putrajaya. Teori bahawa rakyat CH akan memberi kemenangan kepada calon PH ternyata meleset sama sekali.

PH seharusnya peka kepada angin perubahan sokongan rakyat yang kelihatan menunjukkan pola semakin ramai pengundi menolak PH apabila melihat majoriti yang diperolehi BN makin membesar. Adakah fenomena ini tidak menjentik hati politikus PH dan kerajaan semasa ?

Saya ingin mengulas beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan ini.

Stastik undi popular yang diperolehi BN di dalam PRU 14 yang lalu adalah masih dianggap kuat dan kukuh apabila mereka memperolehi lebih 3 juta undi, PKR dengan lebih 2 juta undi,DAP juga dengan 2 juta undi,Bersatu cuma 800 ribu undi,manakala Amanah pula sekadar 600 ribu undi. PAS pula memperolehi lebih 2 juta undi dan angka ini pasti mengerunkan PH jika jumlah undi PAS dan BN disatukan.

Kelebihan dengan julat yang kecil ini telah dijadikan ramuan berkesan terhadap penyatuan dan kerjasama erat PAS – BN. Jika kerjasama ini diperkukuhkan sementelah rakyat kian terhimpit dari soal kehidupan ekonomi mereka,sudah pasti tsunami yang pernah melanda BN akan beralih arah kepada PH pula.

PH dilihat gagal mengurus ekonomi negara sejak mengambil alih Putrajaya dan lagu yang sering didendangkan bahawa regime Najib meninggalkan hutang yang banyak nampaknya tidak terkesan lagi sesuai dengan peredaran masa . Rakyat telah mangli dengan alasan sebegitu dan apa yang rakyat mahu ialah kebijaksanaan pemimpin PH memacu ekonomi negara tanpa menoleh kebelakang lagi dan menyalahkan pihak lain.

Kejatuhan harga komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit secara berpanjangan telah membuatkan undi para peneroka mini mula beralih arah. Kesempitan hidup mereka pasca PRU -14 tentu memeritkan apatah lagi mereka sudah terbiasa dimanjakan oleh DS Najib Razak dengan pelbagai inisiatif.

Perlu diingat,undi peneroka ini merupakan faktor bangkit bangunnya sesuatu parti. Jika para peneroka tidak dapat memaafkan kerajaan PH yang banyak memungkiri janji pada PRU yang lalu,sudah pasti PH hanya dapat berkuasa cuma sepenggal sahaja. Para peneroka masih menuntut janji penghapusan sebahagian hutang mereka,harga komoditi yang lebih baik,janji PTPTN anak mereka dan kos Sara hidup yang tidak membebankan.

Kesombongan pemimpin PH yang mula menjarakkan diri untuk dekat dengan rakyat setelah memenangi Pilihanraya lalu banyak dibualkan saban hari. Ada pemimpin yang tidak pandai lagi hatta menjawab salam yang disampai rakyat melalui applikasi whatApp atau setaranya dan hal INI mungkin kelihatan remeh tetapi amat melukakan hati para pengundi.

Kalau salam mereka pun sudah tidak mampu dijawab,bagaimana pula hendak menyelesaikan masalah rakyat ? Pemimpin UMNO/BN telah dihukum rakyat lantaran suka bersikap sombong begini.

UMNO dan PAS tidak pernah meninggalkan perjuangan mereka demi bangsa yang mereka cintai. Walaupun PAS Cuba berselindung dari menonjolkan perjuangan mereka demi bangsa Melayu ini dengan menyelitkan faktor agama,namun faktor ras ini telah berjaya mereka gunakan secara maksima memandangkan demografi penduduk negara secara stastiknya menunjukkan orang Melayu adalah kaum yang paling dominant iaitu sekitar 67 peratus dari jumlah penduduk keseluruhan.

Malangnya,PH gagal menyelusuri isu sensitif ini dan di pihak BN/PAS pula berlaku sebaliknya. Mereka dilihat lebih terkehadapan dalam menjuarai isu bagi kaum mereka. BN/PAS lebih berjaya apabila di mata rakyat terbanyak hari ini,PH dilihat lebih menjaga kepentingan kaum bukan Melayu memandangkan menteri yang menguruskan kewangan negara bukan lagi dipegang oleh bangsa Melayu seperti sebelum ini. Hal ini walaupun tidak dapat dibuktikan akan kebenarannya tetapi itulah yang ditanam diminda rakyat terbanyak.

Hal ini makin meruncing apabila rakyat khususnya bangsa Melayu merasakan negara ini bukan lagi dinakhodakan oleh pemimpin Melayu tetapi diterajui oleh bangsa lain. Barisan Nasional yang satu masa dahulu turut diwakili oleh pemimpin Cina MCA atau Gerakan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri,tetapi keberadaan mereka tidak begitu kelihatan mendominasi tampuk pemerintahan dan secara bijak mereka tidak cuba menunjukkan taring mereka dan hal ini amat selesa di mata bangsa Melayu yang memang tidak gembira apabila Tanah Melayu/Malaya didominasi pemerintahan oleh kaum lain.

Pemimpin PH dari bangsa selain Melayu harus menyorokkan kuku mereka sedikit demi kelangsungan dan survival politik PH.Jika boleh para pemimpin tionghua PH jangan terlalu vokal sama ada di media cetak atau media elektronik.Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya!