Tuesday, November 29, 2022

Jajaran Telok Melano-Sematan dibuka secara rasmi

Secara Rawak

TELOK MELANO: Lebuhraya Pan Borneo jajaran Telok Melano-Sematan kini dibuka secara rasmi kepada umum.

Jalan raya sepanjang 32.77 kilometer yang siap dibina pada 4 Januari lalu selepas dimulakan pada 7 Oktober 2015 telah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

Ia bermula dari Kampung Telok Melano melalui sempadan timur Samunsam Wildlife Sanctuary dan berakhir di simpang bulatan yang menyambungkan jalan ke Sematan dan Kuching.

Dengan siapnya Jalan tersebut, ia menjadi lipatan sejarah kepada Sarawak khususnya penduduk apabila dua kawasan tersebut, Telok Melano dan Sematan dapat dihubungkan melalui jalan raya.

Ternyata perjuangan Allahyarham Tok Nan untuk menghubungkan dua kawasan itu menerusi salah satu jajaran daripada pakej Lebuhraya Pan Borneo akhirnya menjadi realiti.

Foto: TVSarawak.com

Sebelum ini, sesiapa yang hendak pergi ke Telok Melano terpaksa menggunakan pengangkutan bot atau motosikal untuk sampai ke destinasi.

Malah jalan sedia ada hanya menghubungkan Sematan sehingga ke Kampung Pueh.

Terdapat enam buah jambatan telah dibina sepanjang jajaran ini yang melibatkan Sungai Samunsam, Sungai Beduan, Sungai Pueh, Sungai Kerambai dam Sungai Siru.

Pembukaan jajaran itu turut menghubungkan empat buah kampung ke Pekan Sematan.

Jalan tersebut mempunyai dua lorong yang dibina mengikut piawaian JKR R5 dengan lebar keseluruhan jalan 17 meter.

Majlis pembukaan rasmi bagi jajaran Telok Melano-Sematan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ia menunjukkan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Selaras dengan visi dan komitmen Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, pembukaan jajaran tersebut bakal menyaksikan potensi perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih giat di perkampungan sekitar Telok Melano.

Malah ia juga berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan dengan lokasi yang strategik berdekatan dengan Taman Negara Tanjung Datu dan Samunsam Wildlife Sanctuary. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru