KUCHING: Seramai 297 peserta menyertai Kejohanan Tenpin Boling Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) 2019 yang berlangsung sehingga 27 Jan ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata kejohanan itu disertai 16 anggota gabungan Maksak, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Penjara.

Kejohanan tahunan itu berlangsung di Megalanes Boling Batu Kawa dekat sini, bermula 24 Jan.

Tiga kategori dipertandingkan melibatkan empat sepasukan bagi lelaki dan wanita, tiga sepasukan (lelaki dan wanita), dua sepasukan (lelaki dan wanita) dan Masters untuk pemain terbaik setiap negeri (lelaki dan wanita).

Abu Bakar yang juga Naib Yang Dipertua Maksak Sarawak mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, merasmikan kejohanan itu di sebuah hotel di sini, malam tadi.

— BERNAMA