Sunday, November 27, 2022

Anggota trafik menyamar samseng jalanan untuk banteras jenayah di seluruh negara — Pengarah

Secara Rawak

KUCHING: Bukit Aman kini menghidupkan semula unit khas bagi memantau dan membendung aktiviti samseng jalanan yang dikatakan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafiknya, Datuk Asizman Alias berkata, keputusan ini bertujuan membentuk pasukan khas untuk membanteras aktiviti liar samseng-samseng ini.

“Saya telah mengarahkan semua negeri di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengadakan satu “task force” iaitu Task Force Skuad 42 bagi menangani isu ini.

“Ia pendekatan yang kita buat kerana sebelum ini operasi-operasi yang kita jalankan agak membahayakan anggota kita sendiri.

“Contohnya dilanggar oleh mereka yang memandu melawan arus,”jelasnya dalam satu sidang media di sini semalam.

Sebelum itu, beliau menghadiri perjumpaan bersama-sama pegawai dan anggota trafik Sarawak di Mes Pegawai Kontijen Sarawak di sini.

Turut hadir Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu.

Tambahnya, segala aksi mahupun aktiviti yang dilakukan oleh samseng-samseng ini akan dirakam oleh pasukan khas yang turut menyamar sebagai “samseng jalanan”.

“Mereka akan berpakaian seperti mereka dari segi penampilan, pakaian, rambut dan motosikal supaya dapat merakam segala aktiviti yang dilakukan, sekali gus mengetahui di mana lokasi-lokasi yang sering samseng-samseng ini berkumpul,”ujarnya.

Tegasnya, mereka yang ditahan akan dikenakan hukuman penjara di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru